PADA 9 Mei 2019 ini genap setahun Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 diadakan. Setahun juga Pakatan Harapan (PH) di Putrajaya. Rakyat begitu teruja dengan kemenangan PH itu. Harapan mereka agar PH lebih baik daripada BN. Namun, kini ramai mula meragui kemampuan PH terutama menunaikan segala janji politiknya.
Sudah setahun PH di Putrajaya, apa khabar mereka? Apa yang sudah tunaikan? Masihkah dibuai mimpi kerana berjaya menumbangkan BN? Apakah agenda yang mereka bawa? Jadi, pencapaian PH wajar diteliti melalui manifestonya bertemakan Membina Negara Memenuhi Harapan seperti (i) menghapuskan GST dan mengurang kos sara hidup; (ii) menstabilkan harga minyak dan perkenal subsidi petrol secara bersasar; (iii) menyamaratakan gaji minimum dan proses meningkatkan gaji minimum; (iv) menghapuskan hutang-hutang tidak wajar yang dipaksa ke atas peneroka Felda; (v) perkenalkan skim caruman KWSP untuk suri rumah; (vi) tangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam bergaji kurang dari RM4,000 sebulan dan memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam; (vii) perkenalkan Skim Peduli Sihat dengan memberi RM500 pembiayaan untuk rawatan asas di klinik swasta berdaftar untuk golongan B40; (viii) tubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja 1MDB, Felda, Mara dan Tabung Haji, dan merombak semula struktur kepimpinan mereka; (ix) tubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet untuk segera menyemak dan melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963; dan (x) lancarkan kajian terperinci mengenai projek-projek mega yang dianugerahkan kepada negara asing.
Janji 100 hari itu jelas sekali tidak berjaya dilaksanakan. Jika berjaya pun masih di bawah pencapaian 10 peratus. Alasan kerajaan PH gagal menunaikan janji-janji itu kerana masalah kewangan dan negara mempunyai hutang yang cukup besar. Semua itu disebabkan kegagalan dan salah guna kuasa oleh BN. Justeru, janji-janji PH itu terpaksa ditangguhkan atau dalam pertimbangan.
Cuma kerajaan PH dilihat begitu agresif mencari bukti, menahan dan mendakwa suspek-suspek yang ada kaitan dengan penyelewengan, pecah amanah, penyalahgunaan kuasa dan rasuah. Paling kontrovesi adalah isu-isu berkaitan 1MDB yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya serta kroni-kroni lain termasuklah Jho Low. Saya sokong penuh tindakan ini demi menegakkan integriti di Malaysia ke arah membersihkan imej perkhidmatan awam, badan berkanun, syarikat berkepentingan kerajaan dan semua agensi. Tetapi, dari perspektif lain, banyak lagi yang belum dilaksanakan.
Penghapusan GST kepada pengenalan SST tidak dapat meredakan keresahan rakyat. Bahkan bahang kenaikan harga barang dan perkhidmatan terus menghantui pengguna. Bagi isu PTPTN, masih di peringkat kajian dan pertimbangan dari segi kaedah pembayaran balik dan kadar yang dikenakan. Hanya yang dihapuskan adalah nama peminjam yang disenarai hitam oleh kerajaan sebelum ini.
Janji 1 juta peluang pekerjaan dan gaji minimum RM2,500 apa ceritanya? Kini graduan universiti masih terkial-kial mencari pekerjaan bersesuaian dengan kelulusan mereka. Tiada alasan graduan memilih kerja, tetapi tiada gunanya ke universiti jika selepas itu terpaksa menjadi buruh kasar di ladang, kawasan pembinaan dan lain-lain.
Nasib pengguna jalan raya bagaimana? Janji tol dimansuhkan, tetapi hanya tol di Jambatan Pulau Pinang bagi penunggang motosikal dihapuskan mulai 1 Januari 2019. Jika tidak mampu menghapuskan tol di laluan tertentu, setidak-tidaknya kerajaan PH menurunkan kadar tol.
Harga petrol pun masih belum diturunkan walaupun melaksanakan sistem semakan harga secara mingguan. Harga petrol Ron97 terus meningkat. PH berjanji menghapuskan saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES). Tetapi, mengekalkan sistem ini yang ditukar kepada Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas).
Bagaimana projek pembangunan dan prasarana? Kerajaan PH mengumumkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dibatalkan dengan alasan tertentu. Kemudian mengumumkan ECRL diteruskan setelah berunding semula dengan pihak syarikat dan kerajaan China.
Bagi meringankan beban rakyat, dahulu BN beri BR1M. BR1M dituduh rasuah, dedak dan cash is king oleh PH. Sekarang apa jadi? Kerajaan PH teruskan bantuan itu yang dikenali sebagai Bantuan Sara Hidup (BSH).
Hendak seribu daya, tidak hendak seribu alasan. Jika kerajaan PH hendak membangunkan negara ini dan meringankan segala beban rakyat, kerajaan perlu berusaha dengan apa cara sekali pun. Tidak perlu mendakwa negara ini hampir bankrap kerana dakwaan itu mengurangkan keyakinan pelabur untuk melabur di Malaysia. Jika benar BN menyebabkan negara ini berhutang trilion ringgit, seharusnya ada mekanisme baharu digunakan untuk mengurangkan hutang itu.
PH tidak boleh bersikap baling batu sembunyi tangan. Jika sebelum PRU Ke-14, banyak dakwaan tentang salah laku, kepincangan dan sebagainya dilakukan oleh BN, saya berharap perkara yang sama tidak diulangi oleh kepimpinan dan Kabinet PH. Mereka perlu berani belajar daripada kelemahan BN sebelum ini termasuklah tidak meneruskan dasar-dasar yang dibuat oleh BN jika ia membebankan, kos tinggi, tidak menguntungkan, menjadi punca rasuah dan sebagainya. Kerajaan PH kena ada agenda setting sendiri. Jangan hanya melakukan penjenamaan semula ke atas setiap dasar yang telah diperkenalkan BN. PH perlu ada identiti sendiri yang lebih komprehensif.
Bagi merumus pencapaian dan prestasi kerajaan PH setelah setahun memerintah, saya masih belum melihat ada dasar-dasar komprehensif dilaksanakan oleh PH. Mereka belum ada agenda sendiri yang betul-betul fresh dan ‘meletup’ bagi mentadbir dan mengurus negara. PH masih meneruskan dasar-dasar BN sebelum ini walaupun bukan kesalahan, tetapi masih belum ada idea sendiri yang jauh lebih baik.
Walaupun harapan rakyat kepada PH untuk membawa perubahan di Malaysia masih menebal, tetapi kegagalan melaksanakan janji-janji PRU Ke-14 sedikit sebanyak menjejaskan reputasi parti kerajaan itu. Jadi, bagi saya pertukaran kerajaan BN kepada PH umpama menggantikan sepasang kasut lama kepada kasut baharu, tetapi saiznya sama. Sepatutnya kasut baharu itu lebih berkualiti, selesa dan menyakinkan penggunaannya.
Kebimbangan saya kini bahawa gelombang kegembiraan dan ketaksuban rakyat kepada PH kian merosot kerana PH gagal menunaikan manifestonya. Beberapa pilihan raya kecil (PRK) pun sudah menunjukkan sokongan kepada PH kian merosot dan mereka kalah dalam PRK itu.
Menteri PH pun perlu lebih matang, tidak emosional, bernas dalam memberi ulasan dan sebagainya. Jangan ulangi kelemahan dan kesilapan menteri BN dahulu jika betul mereka berperwatakan sedemikian. Janganlah umpama “mengata dulang paku serpih”. Rakyat kini sangat matang dan begitu terdedah dengan perkembangan politik semasa.
Untuk setahun pertama ini, ternyata sukar bagi PH melaksanakan manifestonya. Saya mengharapkan tahun-tahun berikutnya segalanya boleh dipertingkat dan menghasilkan dasar-dasar yang menggembirakan rakyat. Jika berakhir penggal PRU Ke-14 ini kerajaan PH masih gagal mencapai 50 peratus atau 60 peratus manifestonya, tidak mustahil kerajaan PH hanya kerajaan sepenggal.
DR. MALIKE BRAHIM
- Perunding Kanan Global Political Analyst and Academic Consultant (GoPAC).











