Menyampah? Lagi mereka nak tahu - Utusan Malaysia

Menyampah? Lagi mereka nak tahu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAGI kudratnya masih kuat dan dikurniakan kesihatan berpanjangan, Ahmad Nabil tidak berhajat untuk bersara dalam bidang hiburan.

Malah pelawak ini akan terus bekerja keras untuk memberi kesenangan kepada keluarganya.

Sementelah sudah menimang cahaya mata ketiga pada 25 April lalu, pelakon filem Sifu dan Tongga ini semakin tidak boleh bersenang lenang. Dia perlu lebih bijak merancang sesuatu untuk menambah pendapatan keluarga.

Memuatkan artikel berkaitan…
 

“Dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu sejak kebelakangan ini, saya tak boleh terlalu berehat. Apa saja peluang kerja di depan mata akan segera dipertimbangkan mengikut kesesuaian.

“Selagi saya masih diterima, saya tidak akan berhenti daripada pekerjaan ini,” kata Nabil mengulas khabar angin yang mendakwa dia bakal bersara tahun ini.

Biarpun ada kalangan rakan seperjuangannya sedang berdepan dengan masalah tawaran kerja yang semakin menyusut, tetapi tidak buat dirinya. Nabil bersyukur kerana dia mempunyai pendapatan tetap secara bulanan menerusi komitmennya dengan sebuah stesen televisyen berbayar. 

Sedikit sebanyak membantu dirinya untuk merealisasikan impiannya untuk mengumpul lebih banyak aset sebagai bekalan di hari tua. Seperti mana impian yang dihajatkan sewaktu melangkah masuk dalam industri hiburan lebih sedekad lalu.

“Hingga sekarang, misi saya untuk mengumpul aset belum lagi tercapai. Itu bermakna saya perlu lebih bekerja keras lagi pada masa depan.

“Anak pula dah bertambah, saya kenalah bekerja kuat untuk mereka,” ujarnya.

Nabil dan Nazirah Ayub mendirikan rumah tangga pada 30 September 2011 dikurniakan tiga orang cahaya mata perempuan, Naira Mikayla, 6, dan Leyla Medyna, 3, dan Mishall Imani. 

BUAT DUIT

SIAPA sangka dendangan lagu Pening yang dimuat naik secara suka-suka di YouTube mengundang kebaikan buat dirinya sendiri. Walaupun bertubi-tubi dia dicemuh gara-gara nyanyian sumbangnya tetapi berjaya menarik perhatian ramai tidak lama kemudian.

Buktinya lagu tersebut mendapat tontonan sebanyak 1.3 juta selepas klip video Pening dilancarkan pada 23 Januari lalu. Semua itu terjadi atas dorongan rasa ingin tahu segelintir pihak untuk mengetahui sejauh mana kritikan yang dilemparkan selama ini.

“Semakin ramai orang menyampah, semakin tinggi rasa ingin tahu orang ramai terhadap apa yang ingin saya sampaikan. Itu adalah tanda kejayaan buat saya. Sebab dari awal penghasilan lagi, saya sudah bersedia untuk dikecam.

“Biarlah orang nak cakap apa pun, yang penting saya tahu apa yang dilakukan. Kerana dalam banyak komen negatif yang diterima, ada juga yang memberi komen positif sebagai tanda sokongan,” ujarnya.

Lagu Pening dicipta oleh DJ Fuzz manakala lirik dibuat bersama-sama Waris. Lagu tersebut menyelitkan hubung kait kitaran hidup manusia dan disampaikan secara humor. 

Tegas Nabil, dia tidak akan berpatah semangat untuk menerbitkan lagu keduanya yang bakal berada di pasaran tidak lama lagi. Dia juga percaya dengan kepakaran DJ Fuzz dan Waris bakal menarik lebih banyak lagi kepercayaan orang terhadap kemampuan bakatnya itu.

“Tak salah kalau  pelawak menyanyikan lagu berkonsepkan komedi. Sebelum ini, Jalil Hamid, Allahyarham Din Beramboi dan Shamsul Ghau Ghau pernah muncul dengan lagu sebegini. Jadi saya ingin menyambung usaha mereka,” katanya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini