MAHB catat prestasi kukuh hasil, Ebitda bagi tahun kewangan 2018 - Utusan Malaysia

MAHB catat prestasi kukuh hasil, Ebitda bagi tahun kewangan 2018

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 2 Mei – Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) mencatat prestasi kukuh bagi tahun kewangannya yang berakhir 31 Dis, 2018, mencapai hasil dan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (Ebitda) masing-masing sebanyak RM4.8 bilion dan RM2.3 bilion.

Pengerusi MAHB, Tan Sri Datuk Zainun Ali berkata, pendapatan asas sesaham berada pada 40.37 sen bagi Tahun Kewangan 2018 berbanding 10.98 sen bagi tahun sebelumnya dan pertumbuhan positif itu disumbang daripada proses pewujudan nilai yang dibangunkan, bukan hanya semasa tahun tersebut tetapi juga pada tahun-tahun sebelumnya.

“Bahagian tumpuan kumpulan pada 2019 adalah bertujuan menambah baik tahap perkhidmatan dan mengukuhkan hasil yang akan dicapai menerusi lima sasaran strategik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sasarannya adalah untuk menjadi hab terbaik di kelasnya, menyediakan tahap perkhidmatan bertaraf dunia, mengukuhkan perniagaan bukan-aeronautikal, memanfaatkan potensi menerusi Aeropolis dan mengembang dan mempelbagaikan operasi menerusi perniagaan antarabangsa.

Bagi menambah baik tahap perkhidmatannya, Zainun berkata, kumpulan pengendali lapangan terbang itu merancang untuk membuat penggantian aset utama bagi dua asetnya yang telah berusia – sistem pengendalian bagasi dan Aerotrains di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menurutnya, MAHB juga telah memulakan perancangan pengembangan kapasitinya di terminal Utama KLIA.

“Bagi meningkatkan hasil, MAHB juga akan melaksanakan strategi penetapan semula komersialnya yang bertujuan memudahkan pertumbuhan rakan kongsi runcit dan mengoptimumkan perolehannya daripada hasil sewa bagi kumpulan.

“Selain memanfaatkan simpanan tanah KUL untuk membangunkan KLIA Aeropolis, Malaysia Airports menyasar untuk menggerakkan inisiatif Pembangunan Semula Lapangan Terbang Subang yang akan menjadikan Subang sebagai lapangan terbang bandar yang rancak yang berfungsi sebagai hab bagi penerbangan perniagaan bersama dengan ekosistem aeroangkasa komprehensif,” katanya.

Mengenai tinjauan masa depan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin berkata, beliau optimis dengan prospek masa depan kumpulan apabila kelulusan bagi melanjutkan perjanjian operasi ke 2069 menunjukkan keyakinan dan kepercayaan kerajaan terhadap MAHB.

“Kami komited bukan hanya untuk menyediakan tetapi juga memenuhi dengan cemerlang tanggungjawab kami kepada kerajaan, syarikat penerbangan rakan kongsi dan penumpang secara amnya. Kami akan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab utama di rantau ini menerusi pelbagai pelan dan inisiatif,” katanya. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini