PASIR PUTEH 29 April – Seramai 30 murid asnaf Sekolah Kebangsaan (SK) Cherang Ruku, di sini menerima zakat sumbangan Bank Rakyat cawangan Jertih, Terengganu hari ini.
Majlis penyampaian ringkas disempurnakan Pengurus bank cawangan itu, Rosmidi Ibrahim kepada penerima selepas niat keluar zakat dan terima zakat disempurnakan di hadapan ibu bapa yang hadir.
Menurut Rosmidi, setakat ini sebanyak 40 buah sekolah di sekitar daerah Besut dan Pasir Puteh telah dikunjungi pihaknya bagi meringankan bebanan keluarga murid miskin.
“Setiap keluarga menerima wang tunai sebanyak RM100 yang diharapkan dapat menampung wang sekolah anak-anak atau boleh digunakan sebagai perbelanjaan awal bulan Ramadan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Rosmidi berkata, zakat yang disalurkan itu adalah hasil keuntungan perniagaan yang disokong kuat oleh pelanggan terutama guru-guru sekolah dan orang ramai.
Menurutnya, ia adalah sumbangan sosial korporat yang dilaksanakan menerusi permohonan pengurusan sekolah yang prihatin terhadap kebajikan murid-murid.
“Kami juga turut menawarkan skim takaful Amani untuk perlindungan pelajar dengan hanya 14 sen sehari atau RM53 setahun,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya turut membina rumah percuma kepada keluarga daif terutama ibu tunggal yang memerlukan kediaman yang selesa.
“Kita akan membuat penilaian tahap kemiskinan dan keperluan dengan mengunjungi lokasi ibu tunggal miskin.
“Syarat utama ialah perlu memiliki tanah sendiri atau mendapat kebenaran membina rumah daripada waris terdekat,” katanya. – UTUSAN ONLINE











