KUALA LUMPUR 29 April – Para pemipin sukan bola sepak di negara ini digesa merebut peluang daripada kehadiran para pemimpin dan tokoh penggerak bola sepak dunia pada Sidang Kemuncak Bola Sepak Dunia Asia (WFS) yang berlangsung di sini, hari ini dan esok.
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata sidang kemuncak yang julung kali diadakan di Asia itu adalah satu peluang untuk para anggota gabungan FAM untuk mengemaskinikan diri dengan trend-trend dan isu-isu terbaru bola sepak.
“Saya menggesa rakan-rakan pemimpin bola sepak di Malaysia untuk bertukar-tukar pandangan dengan mereka yang hadir dan mengumpul seberapa banyak maklumat yang mungkin dalam usaha untuk mengemaskinikan diri dalam isu-isu dan trend terbaru (bola sepak).
“Dengan penganjuran sidang kemuncak ini di Kuala Lumpur, Malaysia dan Asia akan meraih manfaat besar kerana para pemimpin bola sepak terbaik akan berkumpul di sini buat pertama kalinya dan boleh didekati dalam satu acara besar-besaran yang pertama kali diadakan di rantau ini,” kata beliau dalam ucapan perasmiannya hari ini.
Ini adalah kali pertama WFS diadakan di luar Eropah, yang sebelum ini diadakan dengan jayanya di Madrid, Sepanyol.
Hamidin berkata lagi, maklum balas yang diterima daripada beberapa sidang kemuncak sebelum ini amat positif malah secara peribadi beliau berpandangan sesi dialog dan perbincangan meja bulat amat berguna.
“Sama ada topik perbincangan berkisar mengenai pengurusan kewangan, mekanisme percukaian untuk diselaraskan dengan pengkomersialan sukan bola sepak hari ini ataupun pertikaian kontrak, sidang kemuncak inilah tempatnya bagi semua pemimpin bola sepak,” katanya.
WFS Asia, yang disasarkan sebagai acara antarabangsa penting untuk industri bola sepak di Asia, dilihat sebagai platform paling tepat untuk para penggiat bola sepak dan pemimpin industri menjalin rangkaian hubungan.
“Sebagai Presiden FAM, saya berharap akan dapat menimba ilmu dan pengetahuan mengenai kaedah-kaedah untuk menceburi peluang-peluang pelaburan baharu bagi pembangunan sukan bola sepak menerusi hasil penajaan baharu.
“Saya yakin para penonton menghargai akan pentingnya realiti “augmented” dan realiti maya dalam sukan bola sepak hari ini dan bagaimana data raya (big data) boleh dimanfaatkan lagi.
Lebih 2,000 orang dari 100 negara berkumpul di Pusat Konvensyen Sunway selama dua hari untuk menghadiri WFS Asia, yang akan menyaksikan pepembentangan oleh 60 pembentang.
Lebih 30 wakil daripada persatuan-persatuan gabungan FAM telah mendaftar untuk menghadiri WFS Asia itu. – BERNAMA











