SEREMBAN – Seorang remaja lelaki warga Thailand dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya di sebuah restoran tomyam di Taman Bukit Emas di sini pada 21 April lalu.
Tertuduh, Alsu Nichi, 19, bagaimanapun mengaku tidak salah selepas pertuduhan keatasnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mahyum Yusof.
Menurut fakta kes, tertuduh didakwa membunuh warga Thailand, Abdul Rosah Jaru, 24, di belakang kedai makan Doll Tom Yam kira-kira pukul 9.30 malam pada 21 April 2019.
Kejadian berlaku selepas mangsa menegur dan bergurau secara kasar dengan tertuduh di kedai makan tersebut sebelum mengajak tertuduh bergaduh di belakang kedai makan berkenaan.
Dalam perjalanan ke ruang belakang dapur, tertuduh mencapai sebilah pisau pemotong sayur dan menyelitnya pada pinggang, manakala mangsa sempat menumbuk tertuduh.
Semasa sampai di belakang pintu dapur, mangsa berdepan dengan tertuduh dan tertuduh mengeluarkan pisau lalu mengacukan pisau itu kepada leher mangsa.
Mangsa sempat berlari ke arah depan kedai makan untuk meminta pertolongan orang ramai sebelum meninggal dunia.
Remaja lelaki itu dituduh dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Majistret menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 31 Mei 2019 bagi menunggu laporan bedah siasat dan kimia.
Tertuduh ditempatkan di Pusat Koreksional Puncak Alam memandangkan berusia bawah 21 tahun.
Tertuduh tidak diwakili peguam, manakala pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Hafizah Zainol.
Kosmo! Online pada 22 April lalu melaporkan, seorang tukang masak lelaki warga Thailand maut selepas lehernya dikelar oleh rakan sekerja yang berang kerana ditegur malas.
Suspek bagaimanapun berjaya diberkas oleh orang ramai di restoran tomyam berkenaan selepas menyedari kejadian yang menimpa mangsa. – K! ONLINE











