JAKARTA 29 April – Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) telah mengambil inisiatif mengadakan Pertandingan Video Pendek terbuka kepada para pelajar kedua-dua negara, bagi mempromosikan hubungan baik kedua-dua negara negara.
Kuasa Usaha Sementara, Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Zamshari Shaharan berkata, pertandingan seperti itu mampu menjadi wadah yang berkesan untuk mempromosi hubungan persahabatan Malaysia dan Indonesia melalui penggunaan teknologi kreatif.
Menurut beliau, perkembangan teknologi komunikasi dan media sosial pada masa kini membolehkan nilai dan sentimen positif antara Malaysia dan Indonesia lebih mudah disebarkan, sekali gus dapat mengeratkan hubungan baik masyarakat kedua-dua negara.
“Masyarakat juga boleh memupuk semangat menghormati dan menghargai hubungan baik antara kedua buah negara yang sepakat ini, berganding bahu menolak unsur provokasi dan kebencian yang boleh mengeruhkan hubungan baik yang sudah sedia terjalin.
“Sesuai dengan peranan PKPMI sebagai duta kecil Malaysia di Indonesia, program ini diharapkan akan mendatangkan impak yang baik bukan sahaja kepada para peserta malahan kepada semua netizen yang terdiri daripada warganegara Malaysia dan Indonesia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Makan Malam dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Video Pendek anjuran PKPMI dengan tema ‘Sahabat Lama di Era Baharu’ di sini, semalam.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Prof. Ir. Dr. Mohd. Saleh Jaafar dan Presiden PKPMI Pusat, Kamal Hassan.
Sementara itu Kamal berkata, pertandingan video tersebut merupakan kali pertama diadakan bertujuan meraikan 60 tahun hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
“Pertandingan ini bertujuan memupuk semangat negara tetangga antara kedua negara yang sudah terjalin sejak lebih 60 tahun.
“Pertandingan ini telah berlangsung pada 1 Mac hingga 12 April lalu dan telah menerima sebanyak 214 penyertaan dari warga kedua-dua buah negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE











