KUALA LUMPUR 29 April – FGV Holdings Bhd. (FGV) menandatangani perjanjian induk (HoA) dengan PLS Plantation Bhd. (PLS) bagi pembangunan perladangan tanaman jangka pendek terutamanya durian.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, kerjasama itu sebahagian daripada perancangan strategik kumpulan untuk menambah nilai tanah-tanah tidak produktif disebabkan tidak sesuai untuk penanaman sawit dan menerokai pendapatan tambahan dengan meningkatkan peratusan tanaman jangka pendek.
Katanya, sektor logistik dan perniagaan sokongan FGV turut akan mendapat manfaat daripada kerjasama ini yang mampu menawarkan rangkaian logistik untuk membentuk hub serantau menerusi kerjasama strategik ini.
“Durian merupakan tanaman jangka pendek paling menguntungkan dari segi hasil setiap hektar dan FGV sasar untuk memanfaatkan permintaan tinggi China terhadap raja buah berkenaan.
“Kami yakin kerjasama ini akan memberi impak positif kepada prestasi kewangan FGV dan secara langsung menambah nilai kepada pemegang saham,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
HoA itu ditandatangani sempena Forum Jalur dan Laluan di Beijing, China.
Durian merupakan buah yang paling banyak ditanam dan dituai di Malaysia. Pada 2017, masing-masing sebanyak 72,391 hektar dan 35,179 hektar tanah telah ditanam dan dituai.
Harga durian juga meningkat secara stabil seiring dengan pertumbuhan permintaannya. Purata harga runcit durian adalah kurang daripada RM9 sekilo pada 2013 tetapi meningkat kepada purata RM24.80 sekilo pada 2017, naik lebih 100 peratus. – UTUSAN ONLINE











