KUALA LUMPUR – Beberapa individu akan dipanggil untuk diambil keterangan berhubung satu forum mengenai Statut Rom yang diadakan di Universiti Malaya kelmarin.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya telah menerima beberapa laporan polis berhubung isu tersebut dan siasatan sedang dijalankan.
“Sama ada kita akan memanggil individu terlibat ini atau tidak, ia bergantung kepada laporan siasatan dan jika perlu, kita akan panggil.
“Kita akan lihat apa kesalahan dan keperluan untuk memanggil pihak terbabit. Siasatan juga akan dibuka sama ada mengikut Akta Hasutan atau undang-undang berkaitan,” katanya pada satu sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, di sini, hari ini.
Terdahulu, sebuah forum awam bertajuk Malaysia dan Statut Rom telah dianjurkan di Auditorium Tun Mohamed Suffian, Universiti Malaya kelmarin.
Suasana forum berkenaan bagaimanapun menjadi kecoh selepas beberapa orang panelis yang dijemput didakwa tidak profesional dalam melontarkan pandangan yang dilihat mengkritik Raja-Raja Melayu.
Difahamkan, forum itu diadakan susulan pendedahan rumusan eksekutif dibentangkan oleh ahli akademik yang dikatakan digunakan bagi meyakinkan Majlis Raja-Raja Melayu untuk menolak Statut Rom. – K! ONLINE











