Suap penguat kuasa: Datuk Seri, Datuk bebas reman - Utusan Malaysia

Suap penguat kuasa: Datuk Seri, Datuk bebas reman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 29 April – Mahkamah Majistret di sini hari ini membebaskan dua pegawai kanan syarikat pembekalan bergelar Datuk Seri dan Datuk yang ditahan berhubung kes memberi suapan kepada penguat kuasa sebuah kementerian mencecah ratusan ribu ringgit.

Majistret Shah Wira Abdul Halim membebaskan wanita bergelar Datuk Seri, dengan jaminan sebanyak RM40,000, manakala lelaki bergelar Datuk itu pula dengan jaminan sebanyak RM15, 000.

Menurut peguam Rajsurian Pillai yang mewakili Datuk berkenaan, kedua-kedua mereka dilepaskan selepas tempoh reman berakhir dan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berpendapat tiada keperluan reman dilanjutkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, kedua-kedua mereka bagaimanapun dikehendaki hadir ke Ibu Pejabat SPRM di sini sebulan sekali bagi membantu siasatan kes berkenaan yang masih berjalan.

“Mereka dikehendaki hadir sehingga siasatan selesai dan SPRM maklumkan sudah tidak perlu,” katanya.

Mahkamah juga katanya, memerintahkan Datuk Seri dan Datuk berkenaan mendapatkan kebenaran daripada SPRM sekiranya hendak ke luar negara.

Menurut laporan yang memetik sumber sebelum ini, wanita berumur 49 tahun itu yang merupakan ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat pembekalan ditahan kira-kira pukul 5.30 petang di Ibu Pejabat SPRM di sini, selepas hadir memberi keterangan.

Lelaki berusia 55 tahun yang merupakan penasihat syarikat itu pula ditahan pada kira-kira pukul 11.30 pagi di kawasan Dutamas Raya, Kuala Lumpur.

 

Jelas sumber itu, siasatan awal mendapati kedua-dua individu bersubahat membayar wang suapan kepada penguatkuasa sebuah kementerian sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap syarikat mereka yang menjalankan aktiviti mengutip deposit bagi pelaburan yang tidak sah sekitar Julai 2017.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini