LONDON 29 April – Pengurus Newcastle, Rafa Benitez memberitahu penyokong Liverpool bahawa skuad bimbingannya tidak akan memberi laluan mudah walaupun dirinya pernah membimbing The Reds sebelum ini.
Sebaliknya pengendali dari Sepanyol itu berkata, Newcastle akan turun seperti biasa untuk menang perlawanan minggu depan yang akan menjadi penentu sama ada Liverpool mampu menjadi juara Liga Perdana Inggeris musim ini atau pun tidak.
“Kami akan melakukan apa yang sepatutnya kami lakukan iaitu menang perlawanan itu. Bermain di laman sendiri, kami akan cuba memberikan yang terbaik,” katanya yang menyedari kemenangan akan membunuh terus sisa-sisa perjuangan Liverpool.
Dengan baki dua perlawanan lagi yang tinggal musim ini, kalah bermakna Liverpool akan ketinggalan empat mata jika Manchester City menang menentang Leicester City di laman sendiri.
Jika ianya terjadi, aksi terakhir selepas itu tidak akan membawa apa-apa makna lagi apabila Liverpool menentang Wolverhampton di laman sendiri manakala City menentang Brighton di laman lawan. – Agensi











