KUALA LUMPUR – Program Career Fair & Internship Day UPNM 2019 di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di sini kelmarin mendapat sambutan menggalakkan khususnya dalam kalangan pelajar universiti itu.
Program tersebut dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPNM melalui Seksyen Kaunseling Kerjaya dan Alumni dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) di bawah inisiatif Professional Training and Education For Growing Enterpreneurs (PROTÉGÉ) serta beberapa pemain industri terkenal negara.
Meskipun hanya berlangsung selama satu hari dari pukul 9 pagi hinga 4 petang pada 24 April lepas, ia telah menarik minat sejumlah 37 industri dan syarikat daripada pelbagai sektor serta sembilan agensi penguat kuasa yang menyediakan peluang pekerjaan serta pendedahan awal bagi memenuhi keperluan tenaga kerja mahir dalam sektor masing-masing.
Agensi penguat kuasa yang terlibat adalah Jabatan Kastam, Jabatan Penjara, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Imigresen, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, polis termasuk Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.
Antara pengisian dan aktiviti sepanjang program adalah sesi temu duga kerjaya, perkongsian pengalaman kerjaya oleh agensi penguat kuasa, pameran kerjaya penguat kuasa, perkongsian kerjaya industri, cabutan bertuah dan sesi ramah mesra bersama wakil industri dan agensi penguat kuasa.
Majlis perasmian bagi penganjuran program kali ketujuh itu telah disempurnakan oleh Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Abdul Halim Jalal.
“Penganjuran program ini dilihat sebagai platform kepada para pelajar khususnya mahasiswa UPNM dalam mencari peluang kerjaya dalam bidang industri,” ujar Abdul Halim ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di ruang pameran di Dewan Pendekar UPNM.
Menurutnya, pelajar juga berkesempatan mencari peluang pekerjaan dalam bidang keselamatan negara dan penguatkuasaan memandangkan UPNM turut memiliki pengkhususan dalam bidang pertahanan dan keselamatan.
“Di UPNM, pengkhususan kita adalah pertahanan dan keselamatan.
“Jadi, amat sesuai kita menjemput agensi-agensi penguat kuasa serta 37 pemain industri yang dihimpunkan bersama, sekali gus membolehkan pelajar terutama penuntut tahun akhir mencari peluang pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan masing-masing di samping memperoleh maklumat mengenai kriteria yang diperlukan oleh industri dan agensi berkaitan.
“Program ini terbuka kepada semua penuntut UPNM yang berjumlah 3,500 orang. Pada tahun ini, lebih kurang 1,000 penuntut tahun akhir akan menamatkan pengajian dan saya mengharapkan mereka mengambil bahagian mencari peluang-peluang pekerjaan yang ada supaya dapat membuat perancangan awal.
“Selain itu, program ini juga memberi ruang kepada pelajar mencari tempat latihan industri pada semester akan datang,” katanya.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Tengku Mohd. Tengku Sembok dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Briged Jeneral Prof. Ir. Dr. Norazman Mohamad Nor.
Abdul Halim memaklumkan, UPNM merupakan antara Universiti Awam (UA) di negara ini yang merekodkan peratusan tertinggi kebolehpasaran graduan iaitu 96.4 peratus.
“Peratusan tertinggi kebolehpasaran graduan dalam kalangan UA ini bukan disebabkan UPNM memiliki pegawai kadet semata-mata kerana kita juga mempunyai lebih ramai pelajar awam.
“Harapan saya dengan adanya program seperti ini, graduan kita akan akan mendapat peluang pekerjaan lebih cerah dan mungkin dapat cecah 100 peratus,” ujarnya.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.











