GUA MUSANG 29 April – Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan penerbangan pemindahan perubatan (Medevac) membawa seorang bayi lelaki Orang Asli berusia 30 hari yang sakit tenat dari Pos Balar untuk mendapatkan rawatan di Hospital Gua Musang di sini, petang semalam.
Mangsa, Maliki Selem, yang lemah akibat demam panas turut pengsan pada pukul 7 pagi semalam apabila sukar untuk bernafas dan tidak mahu menyusu.
Ibu mangsa, Julia Along, 41, berkata, bayinya itu sudah sakit sejak dua hari lalu.
“Jarak kampung yang jauh menyebabkan kami terpaksa memohon bantuan udara untuk membawa bayi ke hospital,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Pangkalan Udara JBPM Subang, Selangor, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Farhan Marzuki berkata, krew penerbangan Agusta Westland 139 berlepas dari pangkalan udara Bertam, Pulau Pinang pada pukul 1.15 petang telah mendarat di Pos Balar 50 minit kemudian.
Katanya, pesakit bersama ibu bapanya sebagai pengiring selamat tiba di perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang pada pukul 2.39 petang sebelum dihantar ke Hospital Gua Musang menggunakan kenderaan kecemasan bomba.
“Pihak kami melaksanakan operasi tersebut selepas menerima laporan daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) tentang keadaan bayi itu.
“Pesakit dilaporkan stabil selepas menerima rawatan di hospital,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambah Mohd. Farhan, penerbangan tersebut dilaksanakan oleh juruterbang, Kapten Leong Cheong Meng dan pembantu juruterbang, Penguasa Bomba Mohamad Muizz Md. Pisar serta dibantu oleh tiga anggota lain.
“Penerbangan ini adalah yang ke-13 dilakukan untuk membantu Orang Asli dan setiap tahun Gua Musang mencatat rekod paling banyak bagi operasi Medevac,” katanya. – UTUSAN ONLINE











