LONDON – Pengurus pasukan Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino mengkritik kelekaan anak-anak buahnya yang tidak memberi tumpuan penuh sewaktu tewas mengejut 0-1 kepada West Ham dalam aksi Liga Perdana England (EPL) kelmarin.
Pada aksi tersebut, pemain The Hammers, Michail Antonio menjadi penjaring gol tunggal untuk memastikan Tottenham mencatat kekalahan pertama di venue baharu, Stadium Tottenham Hotspur yang dibuka secara rasmi awal bulan ini.
Kata Pochettino, kekalahan tersebut boleh menjejaskan momentum pasukannya menjelang aksi penting separuh akhir Liga Juara-Juara menentang wakil Belanda, Ajax Amsterdam pada awal pagi Rabu nanti.
“Saya agak kecewa dengan keputusan ini kerana di atas kertas, kami boleh meraih tiga mata penuh sekali gus menaikkan semangat pemain sebelum mengharungi perlawanan getir bertemu Ajax, Rabu depan.
“Namun, sebaliknya yang berlaku apabila tumpuan pemain agak terjejas dan gagal meneruskan rentak kemenangan seperti yang diraih pada aksi bertemu Brighton sebelum ini,” kata pengendali kelahiran Argentina itu.
Mengulas lanjut, Pochettino mengakui beberapa tonggak utama seperti Harry Winks, Moussa Sissoko dan Jan Vertonghen mungkin terpaksa diketepikan pada aksi menentang Ajax di laman sendiri nanti.
“Masih ada pemain dalam skuad utama kami yang belum cergas sepenuhnya dan saya akan menilai kesebelasan terbaik. Siapa sahaja yang diturunkan, saya harap mereka dapat manfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri,” katanya. – Agensi











