MANCHESTER 29 April – Chelsea ketinggalan seawal minit ke-11 di Old Trafford, namun David de Gea sekali lagi melakukan kesilapan yang menyebabkan Manchester United keciciran mata selepas seri 1-1, hari ini.
Sedar mereka tidak boleh melakukan kesilapan dalam baki saingan jika mahu menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik Liga Perdana Inggeris, United bermula agresif untuk mencari gol awal.
Usaha mereka berhasil apabila Juan Mata yang baru menyambut ulang tahun ke-31 semalam meletakkan tuan rumah di depan selepas merembat bola hantaran Luke Shaw.
Bagaimanapun, Chelsea berjaya menyamakan kedudukan, seminit sebelum tamat separuh masa pertama berpunca daripada kegagalan De Gea menolak kemas bola rembatan luar kotak penalti Antonio Rudiger.
Akibatnya, Marcos Alonso yang berada tidak jauh dari gawang United menyambut bola lantun dan menolaknya untuk menewaskan penja gol Red Devils itu.
Keputusan seri menyebabkan United kekal di tangga keenam liga dengan 65 mata, tiga mata di belakang Chelsea yang menghuni tempat keempat.
Pada ketika liga berbaki dua perlawanan, United perlu memenangi kedua-dua saingan menentang Huddersfield dan Cardiff City untuk menghidupkan peluang.
Red Devils bagaimanapun tetap akan terkeluar daripada kelompok empat terbaik sekali pun menang dua baki perlawanan andai Chelsea berjaya mengutip kesemua enam mata terakhir yang ditawarkan.
Malah, United tetap akan terlepas tiket Liga Juara-Juara andai pasukan tangga kelima, Arsenal yang dikejutkan 0-3 oleh Leicester hari ini memenangi dua perlawanan mereka. Gunners kini mengumpul 66 mata. – AGENSI











