TUMPAT 28 April – Seorang penjual aiskrim maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas sebelum dilanggar oleh sebuah kereta dari arah belakang di jalan Pasir Pekan kira-kira pukul 12 tengah hari tadi.
Mangsa dikenali sebagai, Ahmad Samosa, 60 tahun, merupakan warga Thailand meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Ab Rashid Mat Daud berkata, pada masa kejadian mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha Y100 dari arah Kota Bharu menghala ke Wakaf Bharu.
“Semasa tiba di tempat kejadian mangsa yang menunggang motosikal bersama peti aiskrimnya itu hilang kawalan sehingga terjatuh di bahagian lorong tengah.
“Sebuah kereta jenis Perodua Kancil berada di laluan tersebut tidak sempat mengelak lalu merempuh motosikal mangsa di bahagian belakang,” katanya ketika dihubungi di sini.
Tambahnya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat berlaku dan dibawa ke Hospital Tumpat untuk proses bedah siasat.
Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN ONLINE











