KUALA LUMPUR – Teater muzikal Ola Bola mengungguli malam Anugerah BOH Cameronian (BCAA) ke-16 apabila diangkat sebagai salah sebuah daripada empat pemenang naskhah terbaik bagi tahun 2018.
Ola Bola memenangi kategori itu di samping tiga lagi naskhah lain iaitu American Tapestry terbitan Philharmonic Winds of Malaysia, Dear Molly (Greenhopper Theatre) dan Eight Twelve (Eight Twelve).
Malah, pengarah dan penerbit, Puan Sri Tiara Jacquelina juga diangkat selaku Pengarah Terbaik menerusi naskhah tersebut yang pernah dipentaskan sebanyak dua kali di Istana Budaya iaitu pada Februari tahun lepas dan Februari lalu.
Naskhah terbitan Enfiniti (M) Sdn. Bhd. itu turut membawa pulang empat kategori dalam cabang Teater Muzikal iaitu Persembahan Terbaik, Pelakon Utama Terbaik (Brian Chan), Rekaan Set Terbaik (Raja Malek) dan Rekaan Pencahayaan Terbaik (Ee Chee Wei).
Sementara itu bagi cabang teater, pelakon Jonathan Chew membawa pulang kategori Pelakon Utama Terbaik menerusi naskhah The Bee By Hideku Noda & Colin Teevan.
Chang Wei Loy pula diangkat selaku Pengarah Terbaik menerusi teater Hoong Siamang Hooong.
Anugerah BOH Cameronian ke-16 menyaksikan sebanyak 32 pencalonan dipertandingkan. Teater Ola Bola The Musical merupakan naskhah paling banyak menerima pencalonan iaitu 10 kategori.
Antara naskhah lain yang turut tercalon adalah Madame Butterfly, The Edge, Company, Mek Mulung Hikayat Puteri 12 Beradik.
Selain pementasan teater muzikal, Anugerah BOH Cameronian turut mempertandingkan tiga cabang seni lain iaitu tarian, muzik dan teater. – K! ONLINE











