KUALA LUMPUR 28 April – Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan, Tan Sri Dr. Rais Yatim menegur Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Tunku Ibrahim yang disifatkan terlalu banyak bercakap politik.
Melalui laman Twitter miliknya, Rais mahu TMJ berhenti menyindir Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan mengeluarkan kenyataan mahu Perdana Menteri diganti.
“TMJ banyak cakap politik. Tolong hentikan sindir mahukan Perdana Menteri diganti.
“Kalau mahu cakap politik sila daftar masuk parti politik. Lopak raja lain. Ruang politik lain,” katanya.

Baru-baru ini tular video TMJ dalam nada bergurau berkata lebih baik jika Perdana Menteri ditukar.
Baginda berkata demikian ketika disapa orang ramai yang meminta baginda menukar jurulatih pasukan Johor Darul Takzim (JDT), Benjamin Mora ketika baginda dalam perjalanan keluar dari Stadium Tan Sri Datuk Haji Hassan Yunos di Larkin, Johor menaiki kereta.
“Dari tukar Mora, baik tukar Perdana Menteri,” kata baginda dalam video tular tersebut.
Tambah Rais, perbuatan TMJ mencampuradukkan hal politik dengan istana dikhuatiri akan menyebabkan huru-hara kepada rakyat.
Sehubungan itu, beliau meminta baginda supaya bertindak dengan lebih waras.
“Jangan campur aduk ikut selera anak raja. Nanti huru-hara rakyat.
“Tolong waras,” katanya. – UTUSAN ONLINE











