CALIFORNIA 28 April – Polis Amerika Syarikat (AS) giat menyiasat satu manifesto yang dipercayai dimuat naik dalam talian oleh suspek pengganas kulit putih yang melepaskan tembakan rambang di sebuah rumah ibadat komuniti Yahudi di San Diego, semalam.
Mail Online melaporkan, insiden itu menyebabkan sekurang-kurangnya seorang terbunuh dan tiga lagi cedera, kejadian disifatkan Presiden Donald Trump sebagai jenayah kebencian.
Suspek yang dikenali sebagai John T. Earnest, 19, ditahan susulan insiden yang berlaku di premis Chabad of Poway pada pukul 11.30 pagi waktu tempatan itu.
Mangsa yang terbunuh dalam serangan tersebut dikenal pasti sebagai Lori Gilbert-Kaye, 60 tahun, manakala tiga lagi mangsa cedera termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun.
Difahamkan, senapang semi automatik jenis AR-15 digunakan suspek rosak dan dipercayai sebab utama jumlah mangsa serangan itu agak rendah.
MENGAKU BAKAR MASJID
Menurut polis, manifesto tersebut dimuat naik dalam talian sebelum serangan berlaku dan mendedahkan ‘kebencian’ suspek terhadap golongan Yahudi menyebabkan dia melancarkan tembakan.
Selain itu, manifesto berkenaan juga menjadikan serangan pengganas di dua masjid di Christchurch, New Zealand pada bulan lalu sebagai ‘inspirasi’ kepada suspek.
Suspek juga mengakui memulakan kebakaran di Masjid Darul Arqam di Escondido pada 24 Mac lalu dan sehingga kini kes berkenaan masih dalam siasatan Biro Siasatan Persekutuan (FBI).
SEMPAT TULIS MANIFESTO
Dalam manifesto sepanjang 4,000 patah perkataan itu, ‘penulis’ menggambarkan dirinya berusia 19 tahun dan merupakan seorang pelajar kejururawatan berasal dari California.
Penulis juga menceritakan dirinya mula bermain piano seawal usia empat tahun dan terdapat satu video dari media sosial menunjukkan Earnest merupakan pemain piano yang berbakat.
“Tujuan utama saya melancarkan serangan ini adalah untuk menggesa kerajaan Amerika Syarikat mula mengharamkan senjata api kerana perang saudara boleh berlaku pada bila-bila masa.
“Saya juga tidak menyokong Presiden Donald Trump kerana beliau menyokong Yahudi dan antikulit putih,” katanya dalam manifesto berkenaan.
Penulis turut tidak ketinggalan menuduh komuniti Yahudi merancang melakukan ‘pembersihan etnik’ bagi menentang kebangkitan Eropah.
Earnest dipercayai merupakan seorang pelajar kejururawatan yang cemerlang di Universiti California dan tidak mempunyai rekod jenayah.
SENJATA SUSPEK ROSAK?
Ketika kejadian, suspek didakwa melepaskan tembakan menggunakan senapang semi automatik jenis AR-15 dan ada tanggapan awal yang menyatakan bahawa senjata api itu ‘rosak seketika’ menyebabkan Earnest tidak dapat ‘menembak lebih banyak mangsa’.
Seorang pegawai keselamatan sempadan yang tidak bertugas berada dalam rumah ibadat tersebut ketika serangan berlaku dan sempat melepaskan tembakan ke arah suspek sebelum menghubungi 911.
Sementara itu, ada laporan menyatakan bahawa suspek merancang untuk membuat penstriman langsung ketika melancarkan tembakan namun gagal. – AGENSI











