KUALA LUMPUR – Malaysia tetap berpeluang ke separuh akhir meskipun terikat seri 4-4 dalam satu lagi perlawanan menghiburkan pada aksi kedua Kumpulan B Final Siri Hoki Dunia di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi.
Skuad hoki negara terpaksa akur sekadar mengutip satu mata selepas kedua-dua pasukan saling berbalas jaringan gol pada 10 minit terakhir perlawanan itu.
Empat gol Malaysia dijaringkan Mohd. Fitri Saari (m-4), Muhammad Firhan Ashari (m-34) dan dua jaringan daripada Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil pada minit ke-53 serta 57.
China pula yang mempamerkan kebangkitan luar biasa dalam perlawanan itu memperoleh empat gol menerusi Lin Changliang pada minit ke-43, Ao Weibao (m-51), Du Talake (m-54) dan Dong Yang (m-59).
Keputusan seri menyaksikan Malaysia jatuh ke tangga kedua dengan empat mata selepaa dua perlawanan dan ketinggalan dua mata dengan pendahulu baharu, Itali.
Malaysia wajib mencatat kemenangan ke atas Itali yang menghuni ranking ke-32 dunia pada aksi terakhir malam esok jika berhasrat melangkah ke pentas separuh akhir secara automatik sebagai juara Kumpulan B.
Bagaimanapun, ia bukan tugas mudah kerana Itali yang merupakan negara ranking paling rendah kejohanan, berjaya mencipta kejutan menewaskan China 2-1 dan Brazil 3-0.
Kapten Itali, Agustin Nunez turut melaungkan amaran bahawa mereka sudah tidak sabar untuk melakar kejutan ketiga berturut-turut dengan kali ini dilakukan ke atas Malaysia. – K! ONLINE











