China ikat Malaysian Tigers - Utusan Malaysia

China ikat Malaysian Tigers

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 April – Gagal mencatat kemenangan kedua dalam Siri Akhir FIH menentang China hari ini menyebabkan skuad Malaysian Tigers tidak punya pilihan kecuali menewaskan Itali dalam aksi terakhir Kumpulan esok jika mahu memburu slot separuh akhir lebih awal.

Selepas membelasah Brazil 6-0 dalam perlawanan pembukaan semalam, Malaysia terpaksa akur seri 4-4 menentang China, sekali gus meletakkan pasukan negara di tangga kedua dengan empat mata, dua mata di belakang Itali yang memenangi dua perlawanan setakat ini.

Berdasarkan format kejohanan, setiap juara kumpulan akan melangkah secara automatik ke separuh akhir, Jumaat ini manakala pasukan di tangga kedua serta ketiga harus merebut slot ke perlawanan empat terakhir menerusi play-off.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam perlawanan tersebut menyaksikan Malaysian Tigers tidak menunggu lama bagi mendapatkan jaringan apabila memanfaatkan pukulan sudut penalti pada minit keempat untuk mendapatkan gol menerusi Faizal Saari.

Pada suku ketiga Malaysia tidak berdepan masalah menambah gol kedua hasil jaringan padang menerusi Muhammad Firhan Ashaari pada minit ke-34 sekali gus memberi tekanan hebat ke atas China.

Bagaimanapun, China berjaya menyamakan kedudukan 2-2 hasil dua jaringan pukulan sudut penalti menerusi Lin Changliang pada minit ke-43 dan Ao Weibao pada minit ke-51.

Malaysia dapat mendahului kedudukan semula pada minit ke-53 hasil jaringan pukulan sudut penalti yang dimanfaatkan dengan baik oleh Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd. Jalil sebelum China mengikat 3-3 menerusi Du Talake seminit selepas itu.

Debaran perlawanan kuat dirasai kem hoki negara selepas kedua-dua pasukan terus terikat dengan keputusan 4-4 selepas jaringan pemain Malaysia, Tengku Ahmad Tajuddin pada minit ke-57 serta Dong Yang untuk China pada minit ke-59.

Keputusan seri kekal hingga tamat perlawanan selepas Malaysian Tigers gagal memanfaatkan pukulan sudut penalti sewaktu minit terakhir perlawanan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini