KUALA LUMPUR 28 April – Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) akui kehadiran semula Ali Reza Souleymani sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan telah membantu sukan itu kembali di landasan terbaik terutama dalam kempen Kejuaraan Karate Remaja Asia 2019.
Ali Reza yang pernah berkhidmat untuk kem negara pada 1998 hingga 2002 dilantik semula oleh Makaf untuk membimbing skuad karate negara pada hujung tahun lalu menggantikan Andris Vasiljevs dari Latvia.
Skuad negara menamatkan Kejuaraan Karate Remaja Asia di Kompleks Sukan Likas dengan keputusan positif apabila berjaya meraih tiga pingat emas sekali gus memperbaiki pencapaian tahun lalu tanpa sebarang emas.
Presiden Makaf, Tan Sri Mohd. Ali Rustam berkata, Ali Reza telah membuktikan bahawa pemilihannya sebagai ketua jurulatih adalah satu keputusan tepat.
“Jurulatih baharu kita Ali telah berjaya memulihkan kembali peranan jurulatih dalam meningkatkan prestasi atlet dan dia mungkin menjadi antara sebab kita memenangi emas kali ini.
“Kita sebenarnya sudah tiga tahun berturut-turut tidak memenangi emas, pastinya kejayaan kali ini melegakan dan kami berharap untuk dia terus membimbing pasukan dengan lebih berkesan.
“Corak latihan yang ditekankan oleh jurulatih kepada atlet kita juga membuatkan kami berpuas hati terutama ketika S.Sureeya menghadiahkan pingat emas sulung negara dalam kategori junior kumite bawah 55 kilogram dia melakukan tiga tendangan ‘back flip’ di belakang leher lawannya.
“Ini sebab saya meminta kepada jurulatih untuk diperbanyakkan latihan menguatkan kaki kerana diperingkat Eropah lagi banyak menggunakan tendangan,” katanya.
Secara keseluruhannya Malaysia menamatkan kempen Kejuaraan Karate Remaja Asia 2019 dengan tiga pingat emas, dua perak dan empat gangsa. – UTUSAN ONLINE











