KUALA LUMPUR 28 April – Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim berjaya mengekalkan jawatan sebagai Presiden Persatuan Olahraga Perak (PAA) selepas menang tanpa bertanding dalam pemilihan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) di Manjung, Perak hari ini.
Pemilihan Karim sebagai Presiden PAA bagi penggal 2019 hingga 2022 itu membolehkan beliau mengekalkan jawatan berkenaan buat kali ketiga berturut-turut.
Kata Karim, tumpuannya kini adalah untuk terus membantu olahraga Perak meningkat naik selain berupaya melahirkan atlet negara yang berkualiti.
“Saya berterima kasih kepada semua ahli PAA yang memberikan kepercayaan kepada saya untuk terus menerajui badan induk olahraga negeri ini.
“Kini saya dan barisan kepimpinan PAA yang lain akan terus bekerja keras untuk meningkatkan prestasi olahraga di Perak dan Malaysia,” katanya.
Pada minggu lepas Karim berjaya mengekalkan jawatan dalam barisan kepimpinan Persatuan Olahraga Asia (AAA) sebagai Ahli Majlis bagi penggal 2019 hingga 2023.
Karim, 63, memenangi jawatan tersebut selepas mendapat 31 undi daripada 45 delegasi Asia pada Mesyuarat Agung Tahunan AAA di Doha, Qatar baru-baru ini. – UTUSAN ONLINE











