ALOR SETAR 27 April – Kedah mahu ‘melupakan’ seketika aksi Liga Super bagi memberi tumpuan kepada suku akhir pertama Piala FA menentang PKNS di tempat lawan, Selasa ini.
Dalam aksi Liga Super bertemu Selangor, semalam, Lang Merah terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata apabila sekadar seri 1-1, sekali gus membantutkan perjalanan mereka untuk kembali merebut tangga ketiga liga.
Kapten Lang Merah, Baddrol Bakhtiar berkata, dia mahu rakan sepasukannya berfikiran positif dan terus memandang ke hadapan serta mengikut perancangan yang ditetapkan Ketua Jurulatih, Aidil Sharin Sahak bagi perlawanan seterusnya.
“Perlawanan malam ini (semalam) bukan rezeki kami, apabila Selangor menjaringkan gol pendahuluan kami memang perlu menyamakan kedudukan untuk merapatkan jurang agar mendapat tiga mata penting.
“Memang sedikit kecewa tetapi apakan daya Selangor juga bermain dengan baik, maka kami terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata. Namun, apa yang penting ialah lupakan aksi itu dan kembali fokus untuk bertemu PKNS, minggu depan,” katanya.
Dalam aksi, semalam, Baddrol yang menjaringkan gol penyamaan percaya peluang Kedah untuk mendaki tangga teratas Liga Super masih terbuka, selain, berbangga dengan rekod tanpa kalah yang kekal di Stadium Darul Aman.
Sementara itu, Aidil Sharin berharap, pemain utamanya yang tidak beraksi menentang Selangor ekoran kecederaan dan pengantungan akan kembali memperkuatkan jentera ketika bertemu PKNS.
“Sudah tentu Shakir Hamzah akan kembali bermain dan saya juga berharap Zaquan Adha Abd. Razak kembali pulih menjelang aksi itu bagi membolehkan kami menurunkan kesebelasan yang terbaik.
“Harus ingat PKNS bukan pasukan mudah kerana persembahan mereka sentiasa meningkat dan mempunyai pertahanan yang kuat,” ujarnya.
Bagaimanapun, pengendali dari Singapura itu tidak mahu menjadikan alasan ketiadaan pemain-pemain tertentu sebagai faktor Kedah tidak mampu memperoleh kemenangan. – UTUSAN ONLINE











