PULAU PINANG 27 April – Kerajaan negeri Pulau Pinang menggesa kerajaan persekutuan dan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (WLNR) melaksanakan Fasa 1 Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWS) menjelang 2025.
SPRWTS adalah projek dimulakan oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) untuk mendapatkan sumber bekalan air mentah kedua negeri berkenaan bagi memenuhi keperluan masa depannya dan utara Perak sehingga 2050.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow hari ini menegaskan Sungai Muda, sumber air mentah utama Pulau Pinang, hanya berupaya memenuhi keperluan air mentah Kedah dan Pulau Pinang sehingga 2025.
Chow berkata kerajaan negeri dan PBAPP telah meminta kerajaan persekutuan sebelum ini melaksanakan SPRWTS sejak 2011, tetapi tidak mendapat sebarang jawapan dalam tempoh antara 2012 dan 2018.
“Sekarang memandangkan Pakatan Harapan (PH) memimpin kerajaan persekutuan, kami mengharapkan kelulusan dan pelaksanaan segera SPRWTS menjelang 2025,” katanya dalam ucapan sempena Hari Air Sedunia dan sambutan ulang tahun ke-20 PBAPP.
Bagaimanapun, Jumaat lepas, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata beliau bertegas dengan keputusan kerajaan negeri mahu menjual air terawat kepada Pulau Pinang. – BERNAMA











