KOTA BHARU – Hayat seorang pembancuh air berakhir dalam keadaan husnul khatimah apabila meninggal dunia semasa mahu mengambil wuduk di Masjid Al-Baroah, Pasar Besar Siti Khadijah di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 malam, mangsa, Ibrahim Omar, 61, baharu selesai berniaga di tingkat dua pasar berkenaan dan ke masjid berkenaan untuk solat Maghrib.
Seorang saksi wanita yang enggan dikenali berkata, semasa mangsa yang mesra dengan panggilan ‘Pakdo Him’ itu mahu memgambil wuduk dia mengadu sakit dada.
“Orang ramai yang berada di tempat ini membantunya sebelum dia duduk di atas sebuah kerusi plastik.
“Saya tidak sangka dia menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan duduk di atas kerusi dengan kepala bersandar di dinding. Pakdo Him ini seorang yang ramah dan ceria dengan kami,” katanya ketika ditemui di sini malam tadi.
Menurut rakan baik mangsa, Nazri Hussin, 38, beberapa hari sebelum kejadian mangsa ada memberitahu dia berasa tidak sedap badan dan sakit di bahagian dada.
“Saya terkejut mendapat berita kematiannya semasa mahu menunaikan solat Maghrib. Dia ‘pergi’ dalam keadaan yang baik iaitu husnul khatimah,” katanya.
Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Penambang di sini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut. – K! ONLINE











