Cari ikhtiar turunkan harga rumah - Dominic - Utusan Malaysia

Cari ikhtiar turunkan harga rumah – Dominic

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 27 April – Pakatan Harapan (PH) perlu mencari ikhtiar untuk menurunkan harga rumah di seluruh negara bagi membolehkan semua rakyat memiliki kediaman sendiri.

Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, lebih menyedihkan apabila tiada harga standard untuk rumah mampu milik di negara ini, sama ada di peringkat kerajaan negeri mahu pun Kerajaan Persekutuan.

Kata beliau, Kerajaan Negeri Pulau Pinang misalnya menggariskan rumah mampu milik adalah berharga di bawah RM300,000 manakala Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan meletakkan RM500,000 sebagai harga maksimum rumah mampu milik.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya ingin bertanya, berapa ramai keluarga daripada pendapatan rendah mampu membeli rumah mampu milik yang berharga RM300,000 atau RM500,000?

“Keluarga berpendapatan sederhana dengan pendapatan RM5,000 sebulan pun tidak mampu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelas Dominic, Gerakan menyambut baik hasrat kerajaan ingin membina sejuta unit kediaman mampu milik dalam tempoh 10 tahun akan datang tetapi harganya perlu mampu dibeli oleh golongan pendapatan rendah.

Kata beliau, berdasarkan laporan suku kedua Bank Negara tahun lalu, keluarga yang berpendapatan RM5,228 hanya mampu memiliki rumah mampu milik yang bernilai maksimum RM282,000.

“Rakyat inginkan pemilikan rumah, jadi kerajaan perlu mengurangkan harga perumahan dan mengurangkan pita merah membeli rumah, bukannya membabi buta meminta bank mengurangkan syarat pemberian pinjaman,” katanya.

Pada 5 Januari lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin memberitahu, dalam tempoh 10 tahun kerajaan akan membina sejuta unit kediaman mampu milik dan sebagai permulaan pihaknya akan membina 100,000 unit kediaman setiap tahun. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini