Malaysia raih emas pertama di Kejuaraan Karate Remaja Asia - Utusan Malaysia

Malaysia raih emas pertama di Kejuaraan Karate Remaja Asia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Penantian Malaysia untuk meraih pingat emas pada Kejuaraan Karate Remaja Asia akhirnya terlerai menerusi kejayaan S. Sureeya dalam acara kumite bawah 55 kilogram (kg) di Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu, Sabah hari ini.

Atlet berusia 17 tahun itu tidak berdepan masalah untuk mencatat kemenangan selesa 11-3 ke atas Saiid Akhadov dari Kazakhstan sekali gus menceriakan kem karate remaja negara selepas tiga hari kejohanan tersebut.

“Saya amat gembira dengan kejayaan ini dan berterima kasih kepada jurulatih yang banyak memainkan peranan meningkatkan motivasi saya sebelum turun bertarung hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya menganggap kejayaan ini sebagai batu loncatan untuk saya merangkul lebih banyak gelaran dalam kejohanan-kejohanan anjuran Persekutuan Karate Asia dan Persekutuan Karate Dunia pula selepas ini,” kata Sureeya.

Sementara itu, ketua jurulatih negara, Ali Reza Souleymani menyifatkan masa depan yang cerah menanti pasukan karate kebangsaan berdasarkan prestasi ditunjukkan barisan atlet remaja pada kejohanan tersebut.

“Masa depan Malaysia amat cerah dengan peningkatan prestasi beberapa atlet muda seperti Sureeya, P. Madhuri dan A. Somanroy.

“Secara peribadi, saya gembira dengan peningkatan ketara ditunjukkan Sureeya dalam beberapa kejohanan terakhirnya dan dia masih boleh digilap untuk menjadi salah satu jaguh karate di benua Asia,” jelasnya.

Kejayaan Sureeya berjaya menyaksikan kedudukan Malaysia melonjak ke tempat keenam keseluruhan selepas memungut satu pingat emas, satu perak dan empat gangsa, namun masih jauh ketinggalan di belakang Jepun yang sudah mengumpul 10 emas. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini