TLDM lancar aplikasi 'RMN Quick Reference' - Utusan Malaysia

TLDM lancar aplikasi ‘RMN Quick Reference’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT 27 April – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melancarkan aplikasi khusus yang dikenali sebagai RMN Quick Reference E-MPAB bagi kegunaan warga pasukan itu mendapatkan maklumat serta membuat rujukan berkaitan bidang tugas mereka.

Menerusi aplikasi itu, warga TLDM termasuk yang sedang melakukan operasi di atas kapal boleh mengakses pelbagai maklumat berkaitan menerusi telefon pintar masing-masing.

Ia merangkumi aplikasi E-Book Ship Husbandry, Navigation Quick Reference, Navigation Quick Guide, PWO Crib, Ship’s Tips dan Rules of the Road (ROR).

Memuatkan artikel berkaitan…

Panglima TLDM, Laksamana Datuk Mohd. Reza Mohd. Sany berkata, pengenalan aplikasi pintar itu sejajar dengan perkembangan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) dalam kalangan warga angkatan laut.

Menurut beliau, menariknya aplikasi berkenaan dibangunkan sendiri oleh sekumpulan pegawai TLDM sekaligus membuktikan penguasaan mereka dalam bidang ICT.

“Perkembangan ICT masa kini telah memberikan impak yang amat besar kepada dunia malah tidak terkecuali TLDM terutama dalam kalangan Generasi Y.

“Aplikasi ini merupakan ikon yang boleh diakses bagi tujuan rujukan segera. Ia sangat sesuai kepada pegawai-pegawai muda dengan kelebihan konsep rujukan pantas melalui telefon pintar.

“Secara tidak langsung, ia menyediakan kemudahan dalam proses pembelajaran kepeda generasi masa kini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas hadir pada Perbarisan Hari TLDM Ke-85 di Pangkalan TLDM Lumut di sini hari ini.

Turut hadir Timbalannya, Laksamana Madya Datuk Khairul Anuar Yahya dan Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Rosli Ramli.

Terdahulu, Mohd. Reza memeriksa perbarisan terdiri daripada 26 pegawai dan 538 anggota diketuai Komander Mohamad Hilmi Yusof. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini