JOHOR BAHRU – Seorang lelaki ditahan di kawasan Seri Alam di sini kelmarin selepas disyaki melakukan penipuan dengan menyamar sebagai ejen sebuah syarikat penapis air.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Ismail Dollah berkata, suspek berusia 29 tahun ditahan kira-kira pukul 6 petang selepas polis menerima laporan daripada mangsa.
Katanya, suspek yang kononnya mendakwa dirinya sebagai ejen penapis air telah menawarkan perkidmatan pemeriksaan dan pembersihan berkala serta menukar penapis air di rumah mangsa.
“Selepas pemeriksaan dilakukan, suspek memberitahu penapis air mangsa perlu ditukar dan mangsa perlu membayar wang bagi mendapatkan penapis air yang baharu bernilai antara RM120 hingga RM400.
“Suspek berjanji akan datang semula untuk memasang penapis air yang baharu tetapi selepas itu suspek tidak datang dan terus menghilangkan diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ismail menambah, mangsa yang kemudiannya membuat semakan dengan pihak syarikat penapis air tersebut bagaimanapun mendapati suspek bukan lagi ejen bagi syarikat penapis air tersebut.
“Setakat ini sebanyak 13 kes melibatkan suspek yang sama telah dilaporkan di kawasan Seri Alam.
“Suspek direman sehingga esok bagi membantu siasatan di bawah Sekuen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – K! ONLINE











