Mesir berminat eratkan semula hubungan ekonomi dengan Malaysia - Utusan Malaysia

Mesir berminat eratkan semula hubungan ekonomi dengan Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 23 April – Mesir berminat untuk mengeratkan semula hubungan ekonomi dengan Malaysia dan berharap untuk mencapai perdagangan dua hala bernilai AS$1 bilion (RM4.13 bilion) tahun ini.

Duta Besar Mesir ke Malaysia, Gamal Abdelrehim Metwally berkata, hubungan perdagangan antara kedua-dua negara tidak begitu aktif untuk suatu tempoh dengan delegasi perdagangan Mesir melawat Malaysia sebelum ini pada 15 tahun yang lepas.

Delegasi perdagangan dari Mesir tiba pada Ahad lepas dan akan berada di Malaysia hingga 24 April.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, delegasi perdagangan Mesir telah menyatakan minat untuk mempromosikan dan meningkatkan hubungan ekonomi dan komersial dengan Malaysia.

Gamal berkata, Mesir turut berminat untuk menghubungkan semula Kuala Lumpur dan Kaherah melalui Malaysia Airlines dan EgyptAir.

“Saya telah menemui Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi pagi ini dan kami membincangkan bagaimana untuk menghubungkan semula (kedua-dua negara) melalui penerbangan terus. Malaysia Airlines tidak lama lagi boleh melakukan penerbangan ke Kaherah dan EgyptAir akan kembali ke Malaysia,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada acara rangkaian perniagaan yang diadakan dengan kerjasama Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM).

Beliau berkata, Mesir yang kini merupakan pengimport terbesar minyak sawit Malaysia turut berminat untuk memainkan peranan sebagai pintu masuk kepada eksport komoditi negara ke pasaran Afrika.

“Kami juga telah menemui Menteri Industri Utama, Teresa Kok semalam dan membincangkan mengenai bagaimana kami dapat bekerjasama dan mengukuhkan hubungan (perdagangan) sedia ada antara kedua-dua negara bukan hanya dalam sektor minyak sawit tetapi juga sektor lain di bawah penyeliaan kementerian,” katanya.

Naib Presiden NCCIM, Datuk Liew Sew Yee berkata, dengan perdagangan Malaysia-Mesir mendapat sokongan, tiba masanya untuk mengaktifkan semula Majlis Perniagaan Malaysia-Mesir untuk mempromosikan peluang perdagangan antara kedua-dua negara.

Beliau berkata, majlis itu tidak aktif sejak revolusi Mesir 2011 dengan perdagangan antara kedua-dua negara merosot kira-kira 40 peratus dari 2011 hingga 2016.

Katanya, terdapat peluang bagi kedua-dua negara untuk meninjau peluang perniagaan melalui aktiviti perdagangan dan pelaburan yang aktif melalui majlis perniagaan itu.

Pada 2018, Mesir merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia di Afrika. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini