SUNGAI PETANI 23 April – Pengenalan aplikasi myASNB (Amanah Saham Nasional Berhad) disambut baik para pemegang unit yang disifatkan mereka memudahkan urusan seharian.
Seorang pengunjung Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2019, Mohd. Solehin Mohd. Noor, 27, berkata, aplikasi itu telah menjimatkan masa dan kos berbanding kaedah konvensional sebelum ini.
“Sebelum ini, kalau mahu menyemak akaun atau menambah pelaburan, saya perlu memperuntukan waktu yang sesuai untuk berkunjung ke pejabat-pejabat cawangan ASNB.
“Namun, dengan adanya aplikasi myASNB, saya boleh melakukan sebarang transaksi di mana-mana jua dan pada bila-bila masa,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Aplikasi tersebut dilancarkan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) Ahad lalu bagi meningkatkan perkhidmatan digital mereka terutamanya kepada pengguna muda di negara ini.
Sementara itu, Azizah Ishak, 58, dari Padang Serai, Kulim berkata, dia turut memuat turun aplikasi itu dengan bantuan anak-anaknya bagi mengetahui secara terperinci butiran akaunnya.
“Saya memang kurang mahir menggunakan aplikasi seperti ini, tetapi anak-anak ada dan merekalah yang bantu semak, tambah pelaburan dan sebagainya.
“Namun, pada pendapat saya memang kaedah ini bagus dan bertepatan dengan kemudahan teknologi yang ada ketika ini,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE











