SEREMBAN 23 April – Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun memaklumkan terdapat seramai 5,301 penjawat awam di bawah pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan.
Aminuddin (PKR-Sikamat) berkata, daripada jumlah itu seramai 3,509 orang bertugas di jabatan negeri, 1,566 orang di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) dan 226 orang di badan-badan berkanun negeri.
“Berdasarkan pecahan kaum, seramai 5,029 orang adalah penjawat awam dari kaum Melayu, 249 (India), 10 (Cina) dan 13 orang lain-lain kaum.
“Buat masa ini kita tidak bercadang mengurangkan pengambilan kakitangan awam kerana mengguna pakai dasar Jabatan Perkhidmatan Awam iaitu peratusan pengisian tidak melebihi 89 peratus daripada jumlah perjawatan,” katanya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-14 di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Ismail Lasim (BN-Juasseh) berhubung jumlah kakitangan awam negeri ini dan pendirian kerajaan negeri berhubung saiz kakitangan awam.
Sementara itu, menjawab soalan Ng Chin Tsai (DAP-Temiang), Aminuddin berkata, terdapat 276 menara telekomunikasi tidak berlesen di seluruh negeri ini.
Katanya, kerajaan negeri memandang serius perkara tersebut dan proses pemutihan sedang dijalankan oleh PBT.
Ujarnya, peluang diberi kepada pihak terbabit untuk membina secara sah kemudahan berkenaan dan denda antara RM250 hingga RM79,800 akan dikenakan bagi setiap permohonan.
“Memang terdapat kelemahan dalam pengurusan menara telekomunikasi sebelum ini dan kita ambil perhatian dan akan perbaiki kelemahan tersebut,” katanya. – UTUSAN ONLINE











