SUNGAI PETANI 23 April – Pelakon, Maya Karin hanya membelanjakan kira-kira 30 peratus daripada setiap pendapatannya termasuk daripada bayaran membintangi filem sebagai penghargaan terhadap usaha kerasnya.
Heroin filem Ombak Rindu itu berkata, baki pendapatannya itu atau 70 peratus lebihan disimpan dalam pelbagai bentuk terutamanya melibatkan sektor pelaburan hartanah.
“Faktor pertama saya buat begitu kerana kerjaya sebagai artis kadang-kadang ada pasang surutnya, jadi kita tak tahu apa akan terjadi nanti.
“Malah, saya pernah tidak berlakon selama empat tahun tetapi tiada masalah untuk selesaikan pinjaman rumah, bayaran kereta dan sebagainya kerana mempunyai simpanan yang mencukupi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Terdahulu, Maya berkongsi tip celik kewangan bersama 300 pelajar dalam Program MNRB Ringgit Savvy sempena penganjuran Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2019 di sini hari ini.
Tambah Aktres Terbaik Festival Filem Asia Pasifik Ke-49 di Fukuoka, Jepun itu, faktor kedua kerana tidak membelanjakan keseluruhan pendapatannya adalah disebabkan beliau bukan seorang yang gemar kepada barangan mewah seperti beg tangan atau pakaian berjenama walaupun bergelar selebriti popular.
Maya yang kini memiliki kira-kira lapan hartanah termasuk di luar negara berkata, kepentingan dalam sektor itu supaya dia mempunyai tempat berlindung pada usia tua nanti.
“Ketika Malaysia ditubuhkan pada 1957, antara keinginan Perdana Menteri (Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj) masa itu ialah untuk semua rakyat memiliki sekurang-kurangnya sebuah rumah.
“Jadi, pada pendapat saya, pelaburan pertama yang perlu kepada orang muda adalah membeli rumah dan perkara-perkara lain kalau boleh tangguhkan dahulu,” katanya.
Dalam pada itu, Maya gembira melihat penglibatan pelajar dalam program kewangan seperti MRNB Ringgit Savvy yang memberi pendedahan awal mengenai masa depan mereka dan keluarga.
“Saya juga bermula usia enam tahun dibekalkan duit poket oleh bapa pada setiap minggu, dengan jumlah itu saya kena tentukan sendiri berapa untuk makan, tengok wayang dan tambang pengangkutan.
“Malah, setiap kerja-kerja rumah seperti mengelap lantai atau cuci piring, kami tiga beradik diberikan upah. Jadi, dari situ saya belajar bagaimana untuk menyimpan duit,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











