LONDON 23 April – Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino akui dia tidak mahu serabut memikirkan aksi menentang Ajax pada minggu depan sebaliknya ingin kekal tenang mengatur strategi bagi aksi terdekat bertemu Brighton dalam saingan Liga Perdana Inggeris, awal pagi esok.
Spurs dijadual menentang Ajax dalam saingan separuh akhir Liga Juara-Juara pada 1 Mei ini dan perlawanan tersebut bakal menjadi tumpuan terutama selepas kelab Belanda itu berjaya menyingkirkan Juventus dan Real Madrid pada musim ini.
“Kami belum memikirkan tentang aksi menentang Ajax.
“Kami sudah mempamerkan aksi terbaik menentang Manchester City dalam saingan Liga Juara-Juara dan kini biarlah saya memikirkan untuk saingan Liga Perdana Inggeris pula.
“Jelas ketika ini bahawa misi pasukan adalah untuk mendapatkan kedudukan terbaik dalam kancah Liga Perdana Inggeris dan menewaskan Ajax dalam aksi Liga Juara-Juara,” kata Pochettino.
Ketika ini Spurs telah mengumpul 67 mata selepas 34 perlawanan Liga Perdana Inggeris dan sekiranya meraih kemenangan esok maka skuad bimbingan Pochettino berpeluang mengukuhkan kedudukan di tangga ketiga liga. – AFP











