KUALA LUMPUR 22 Julai – MCA mengutuk sekeras-kerasnya terhadap serangan yang berlaku di beberapa gereja dan hotel terkemuka di Sri Lanka semasa penganut Kristian menghadiri perayaan Easter semalam.
Kutukan itu disuarakan oleh Ketua Biro Komunikasi dan Diplomasi Antarabangsa MCA, Dr. Tee Ching Seng yang turut melahirkan rasa simpati terhadap keluarga mangsa yang terkorban.
“Kami ucapkan takziah dan semoga mangsa yang cedera kembali pulih dan sembuh dengan segera. Serangan seperti perbuatan pengganas ini amat serius dan mengancam keselamatan dan keamanan dunia serta tidak selari dengan mana-mana ajaran agama.
“MCA sekali lagi menyuarakan sokongan kami kepada rakyat dan parti politik di Sri Lanka serta berdiri bersama mereka demi kestabilan negara.
“Kami juga menggesa kerajaan Sri Lanka mengambil tindakan yang sepatutnya untuk mengheret pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai lapan siri letupan yang menggegarkan Sri Lanka semalam sehingga menyebabkan lebih 207 orang terbunuh manakala 500 yang lain cedera.
Serangan tersebut merupakan insiden terburuk sejak berakhirnya perang saudara Sri Lanka sedekad lalu. –UTUSAN ONLINE











