MCCF gesa kaji semula pengguguran kes dera amah - Utusan Malaysia

MCCF gesa kaji semula pengguguran kes dera amah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 22 April – Yayasan Keperihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) menggesa pengguguran kes bunuh terhadap majikan yang didakwa mendera pembantu rumah warga Indonesia, Adelina Jerima Sau dikaji semula sekali gus memberi keadilan kepada mangsa dan keluarganya.

HALIM ISHAK

Pengerusinya, Halim Ishak berkata, keputusan pihak pendakwaan yang melepas tanpa membebaskan Ambika MA Shan, 61, daripada pertuduhan amat tidak wajar kerana bukti jelas menunjukkan mangsa didera dan mengalami kecederaan teruk di seluruh anggota badan serta kaki dipenuhi luka terbakar.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Keputusan tersebut bukan sahaja mengejutkan rakyat Indonesia malah beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini turut menyuarakan rasa kesal dan membantah keputusan itu yang disifatkan tidak adil buat mangsa dan keluarganya.

“Sebagai NGO yang prihatin dengan isu-isu berkaitan dengan komuniti, MCCF mahu kes ini dikaji semula dan menggesa pihak Peguam Negara memainkan peranan dalam usaha menegakkan keadilan sekali gus mengekal institusi kehakiman dan perundangan di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Halim, keputusan menggugurkan tuduhan bunuh ke atas majikan mangsa juga dilihat tidak selari dengan hasrat kerajaan yang giat melancarkan kempen untuk memerangi isu pemerdagangan manusia dan buruh paksa di negara ini.

“Tambahan pula, kes ini sudah mendapat maklum balas daripada kerajaan Republik Indonesia melalui pejabat Konsulatnya di Pulau Pinang yang menuntut penjelasan berhubung keputusan mahkamah tersebut.

“Peguam Negara perlu mengambil langkah sewajarnya untuk meneliti semula kes ini bukan sahaja atas dasar menegakkan keadilan tetapi juga atas dasar kemanusiaan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini