KUALA LUMPUR 22 April – Kerajaan memperuntukkan kira-kira RM17 juta bagi penubuhan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) baharu untuk tempoh 2018 hingga 2023, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Beliau berkata peruntukan itu selaras dengan usaha kerajaan untuk menubuhkan pusat berkenaan di setiap kawasan parlimen dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Peruntukan itu termasuk RM5 juta yang diterima Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada tahun ini bagi menubuhkan sekurang-kurangnya 45 buah PAWE, sekali gus menjadikan sebanyak 133 PAWE pada akhir tahun ini iaitu meliputi 60 peratus sasaran PAWE di kawasan Parlimen.
“Kementerian sentiasa memastikan penubuhan PAWE mengambil kira keperluan warga emas di komuniti, bilangan atau populasi warga emas, premis yang bersesuaian dan mudah diakses sama ada di kawasan perumahan atau di mana-mana lokasi yang menepati kriteria tersebut,” katanya.
Dr. Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menjawab soalan Senator Aknan Ehtook yang bertanyakan mengenai bilangan warga emas di setiap PAWE dari 2014 hingga 2018 pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini. – BERNAMA











