SHAH ALAM – Tiga lelaki warga Afrika diberkas selepas terlibat dalam sindiket love scam atau penipuan cinta dengan kerugian RM1.6 juta di hadapan sebuah hotel di Ampang, baru-baru ini.
Ketiga-tiga suspek berasal dari Ghana dan Republik Guinea berusia 34 dan 36 tahun itu ditahan pukul 1 petang pada 17 April lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, penangkapan mereka susulan laporan polis pada 13 April lalu oleh seorang wanita yang merupakan pengurus syarikat automobil di daerah ini berusia 62 tahun.
Katanya, berdasarkan laporan itu mangsa yang masih bersuami dan mempunyai beberapa orang anak terjerat cinta palsu selepas berkenalan dengan salah seorang suspek dari Ghana menerusi laman sosial Facebook.
“Berdasarkan siasatan, mangsa telah melakukan beberapa transaksi dengan nilai keseluruhan RM1.6 juta terhadap suspek dikenalinya selama enam bulan itu.
“Suspek dikatakan telah memperdayakan mangsa bagi membantunya menjelaskan hutang perniagaan dan membayar wang kepada pihak tertentu susulan duit dalam mata wang dollar Amerika Syarikat yang ingin digunakan bagi pembayaran semula hutang kepada mangsa telah ditahan pihak kastam,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau menambah, jumlah tertinggi bagi satu transaksi yang pernah dibayar oleh mangsa adalah sebanyak RM400,000.
Jelas Baharudin, menerusi tangkapan tiga suspek membawa kepada rampasan wang tunai berjumlah RM30,000, sebuah kereta Lexus, komputer riba serta sejumlah telefon bimbit.
“Ketiga-tiga suspek kini direman sehingga Rabu ini mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – K! ONLINE











