IPOH 22 April – Kerajaan negeri berhasrat membangunkan pusat pemprosesan minyak dan gas di Manjung setelah menerima permintaan daripada beberapa pelabur luar negara termasuk dari China dan Asia Barat.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Industri dan Pembangunan Wilayah negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, perbincangan mengenainya bagaimanapun masih belum diputuskan dengan dua lokasi dipertimbang iaitu di Tanjung Hantu atau Teluk Senangin.
“Minyak itu akan sampai dari Timur Tengah, dibawa secara mentah dan akan diproses dalam bentuk diesel atar petrol sebelum dijual kepada negara seperti China dan Vietnam.
“Namun, ia melibatkan beberapa hak milik seperti tanah agensi kerajaan di bawah Felcra dan tanah-tanah kerajaan, jadi kita tengah proses semua itu dulu. Setakat ini, belum ada kelulusan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di luar Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Menurut Mohammad Nizar, pertimbangan akan diberikan kepada pelabur yang mempunyai rakan kongsi di negeri ini dan pihaknya akan memastikan ia tidak dibangunkan berdekatan lokasi pelancongan mahupun kawasan perlindungan penyu.
Terdahulu, ketika menjawab soalan tambahan Datuk Abdul Manaf Hashim (BN-Pengkalan Baharu), Mohammad Nizar berkata, pihaknya menerima permintaan daripada syarikat konglomerat luar negara berhubung pembinaan pusat pemprosesan itu walaupun Perak tidak menjalankan sebarang aktiviti galian gas.
Beliau berkata, perbincangan telah dimulakan bersama Pejabat Daerah dan Tanah Manjung, Majlis Perbandaran Manjung serta agensi berkaitan seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Dalam perkembangan berkaitan, Mohammad Nizar berkata, projek pembangunan paip gas asli dari Ayer Tawar ke Lembah Kinta sepanjang 140 kilometer, telah selesai 70 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada suku keempat tahun ini.
Menurut beliau, projek menelan belanja sebanyak RM180 juta itu bakal dimanfaatkan oleh 44 buat syarikat sedia ada yang terdapat di sepanjang jajaran tersebut. – UTUSAN ONLINE











