Gangguan air: Tidak dapat dielak, atasi masalah musim perayaan - Utusan Malaysia

Gangguan air: Tidak dapat dielak, atasi masalah musim perayaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI – Gangguan air di Lembah Klang pada 24 April ini tidak dapat dielakkan bagi memastikan tidak timbul masalah air pada bulan puasa dan Aidilfitri, kata Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar.

Beliau berkata, pihaknya turut memberi jaminan bahawa bekalan air akan pulih dalam tempoh 48 jam.

Menurutnya, langkah penambahbaikan dan membaiki paip air sudah lama dirancang Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kerja-kerja penambahbaikan merupakan kerja besar dan memerlukan masa yang lama. Jadi, kerana itulah kami meminta tempoh 48 jam,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli di sini hari ini.

SPAN pada Khamis lalu memaklumkan gangguan bekalan air sehingga 86 jam dijangka berlaku di Klang, Shah Alam, Petaling, Gombak, Kuala Lumpur, Kuala Langat dan Kuala Selangor susulan kerja-kerja penambahbaikan perkakasan kritikal sistem bekalan elektrik di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2) pada 24 April.

Gangguan bekalan air akan melibatkan 620,835 akaun atau 4,143,465 pengguna di 577 kawasan.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai agar memulakan proses pengumpulan air bagi menampung kegunaan air pada tarikh berkenaan.

“Kita kena kurangkan pembaziran air. Ini adalah yang terbaik untuk jangka masa panjang bagi memastikan bekalan air mencukupi,” katanya. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini