KUALA LUMPUR 22 April – Setelah berjaya menubuhkan 18 buah klinik perubatan atau U.n.i Klinik, Mara di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar merancang membantu usahawan membuka firma guaman, klinik gigi dan pelbagai bidang perkhidmatan profesional lain.
Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata, kesemua perancangan itu akan dilakukan selepas melihat kejayaan operasi U.n.i Klinik yang dibuka sejak tiga bulan lalu.
Katanya, tujuan penubuhan firma guaman dan klinik gigi berkenaan bagi meningkatkan penyertaan golongan usahawan dalam kalangan profesional bumiputera.
“Ini adalah antara program di bawah Mara untuk membantu golongan profesional menjadi usahawan. Pada tahun lepas, kita sudah adakan seminar kira-kira 200 orang (doktor perubatan) yang hadir serta buat ujian dan sebagainya. Kemudian, ada 40 orang yang kita dapati layak menyertai program ini dan 18 daripada mereka telah pun membuka U.n.i Klinik di seluruh negara.
“Kita juga akan perluaskan program Program Pembangunan Usahawan Profesional (Prospec) bukan hanya untuk klinik ini sahaja, tetapi bidang lain juga contohnya pergigian, farmasi, guaman dan lain-lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan U.n.i Klinik di Sky Awani Residence, Bandar Baru Sentul di sini hari ini.
Kos pembukaan sebuah klinik U.n.i Klinik adalah sebanyak RM300,000 sebuah menerusi pembiayaan di bawah Prospec.
U.n.i Klinik kini berada di seluruh negara dengan menawarkan konsep perkhidmatan perubatan mampu milik untuk seluruh rakyat.
Tambah Rina, Mara juga merancang untuk membuka 20 buah U.n.i Klinik lagi pada tahun ini bagi memenuhi permintaan orang ramai. -UTUSAN ONLINE











