MADRID – Real Madrid dilaporkan akan menganalisa setiap isu dan masalah yang menimpa mereka pada musim yang mengecewakan ini, termasuk membantu semula pemain-pemainnya mendapatkan semula prestasi terbaik berbanding daripada menjualnya.
Kekalahan kepada Girona di Stadium Santiago Bernabeu Februari lalu menyaksikan hajat Real untuk memberi cabaran dalam perebutan juara La Liga hancur berkecai diikuti dengan penyingkiran dalam kempen Piala Raja Sepanyol dan Liga Juara-Juara sebulan kemudian.
Pengurus baharu, Zinedine Zidane menjelaskan kegagalan kelab gergasi Sepanyol itu pada musim ini adalah kerana pemain-pemainnya kekurangan keazaman dan impian untuk menang.
“Saya mahu mencari penyelesaian kepada masalah ini pada kempen musim depan dan akan menganalisa semula segala kesilapan dan kesukaran yang kami tempuhi musim ini, termasuk penurunan prestasi pemain-pemain tonggak seperti Isco, Marcelo dan Gareth Bale.
“Di kelab ini, semua masalah dapat diselesaikan dan saya percaya kami mampu kembali menjadi kompetetif dan melakar sejarah sekali lagi. Bagi merealisasikannya, kami perlu mengulangi sekali lagi prestasi cemerlang kami seperti musim-musim sebelum ini,” jelas Zidane.
Situasi ini bakal menyaksikan Isco, Marcelo dan Bale mungkin tidak akan dijual pada musim depan, sebaliknya mereka akan terus kekal untuk memberi sumbangan kepada kebangkitan era baharu Real.
Bagaimanapun, Zidane juga dikatakan mahu membawa masuk beberapa bintang baharu bagi memperkuatkan lagi cabaran pasukannya, termasuk rundingan mendapatkan Eden Hazard dari Chelsea yang semakin hampir dilengkapkan serta cuba memujuk perancang Manchester United, Paul Pogba menyertainya di Santiago Bernabeu. – Agensi











