Buku bebaskan minda tertawan - Utusan Malaysia

Buku bebaskan minda tertawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SALAH satu cara membebaskan minda yang tertawan ialah menelaah buku-buku yang dihasilkan oleh agamawan, cendekiawan dan sasterawan yang hebat, cekal dan tajam sudut perjuangannya. Kehebatan ini dialirkan menerusi tulisan dan dihadamkan oleh pembaca.

Oleh kerana itu bukan suatu yang luar biasa dalam sejarah silam apabila ada golongan ini menjadi mangsa pemerintah untuk menghalang pengaruh mereka membebaskan minda rakyat yang ditawan. Sasterawan besar Nusantara, Pramoedya misalnya menjadi mangsa rejim Suharto, ditahan tanpa bicara untuk menghalang suaranya yang dialirkan dalam buku.

PRAMOEDYA
PRAMOEDYA 

Tetapi Pramoedya yang tidak pernah mampu ditawan jiwanya terus menulis dari penjara. Penjara hanya mengurung jasad bukan jiwanya. Maka buku-buku Pramoedya bersuara, semangatnya terus menyala tanpa kekalahan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Di negara kita, tokoh wartawan, Said Zahari dipecat dan dilarang masuk ke negara ini kemudian dihumban dalam tahanan lebih 17 tahun di Singapura juga kerana tulisannya. Said yang membangkitkan keberanian rakyat menentang penguasaan UMNO terhadap Utusan Melayu.

Begitu juga Tokoh Wartawan Negara, A. Samad Ismail yang ditahan tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana tulisannya membebaskan minda rakyat yang ditawan borjuis politik selepas merdeka. Buku-buku peninggalan A. Samad terus membebaskan minda rakyat yang terbelenggu.

Buku menjadi wadah pejuang mengalirkan semangat, kepercayaan dan keyakinan kepada rakyat untuk membebaskan dari minda yang tertawan. Demikianlah besarnya kesan serta

SAID ZAHARI
SAID ZAHARI 

pengaruh buku terhadap kehidupan manusia supaya kuat berdepan halangan.

Maka tidak hairanlah kalau tentera Tartar yang dipimpin oleh Kazan menyerang Damsyik pada tahun 699 Hijrah, antara tindakan yang dilakukan selain membunuh orang Islam, mencabul wanita ialah memusnahkan perpustakaan. Mereka memusnah buku yang menjadi kekuatan rakyat Damsyik.

Perpustakaan adalah gedung yang menyimpan banyak buku agama merangkumi pelbagai bidang kehidupan. Ini mengundang bahaya kepada tentera Tartar dan Kazan. Buku-buku yang tersimpan di perpustakaan itu bukan sahaja boleh membangkitkan semangat orang Islam mempertahankan agama dan negara, malah menjadikan orang Islam sukar diperdaya.

Begitu juga halnya apabila pemimpin komunis Khmer Rouge di Kemboja, Pol Pot mendapat kuasa, perkara pertama yang dilakukan ialah membunuh cerdik pandai – pensyarah dan tokoh agama. Kemudian memusnahkan perpustakaan kerana buku membolehkan rakyat bangkit dan melawan.

Pol Pot tidak mahu rakyat Kemboja membebaskan minda yang tertawan. Ini kerana orang yang banyak membaca akan menjadi lebih cerdik dan luas pemikiran, tahu pula keburukan

A. SAMAD ISMAIL
A. SAMAD ISMAIL 

pemimpinnya. Maka Pol Pot memusnahkan sumber yang memberi kekuatan kepada rakyat iaitu buku.

Oleh kerana itu kemampuan ulama tersohor, Ibnu Taimiyyah yang sepanjang hidupnya 63 tahun telah menulis lebih 500 kitab dalam pelbagai disiplin ilmu adalah suatu yang sangat menyumbang kepada pembangunan pemikiran orang Islam.

Menulis 500 kitab satu hal yang sangat luar biasa tetapi yang paling luar biasa sebahagian besar kitab-kitabnya ditulis semasa dipenjarakan oleh pemerintah-pemerintah Islam pada zamannya sekitar 650 Hijrah. Malah ada diceritakan Ibnu Taimiyyah memilih untuk masuk penjara apabila pemerintah memberi kata dua, berhenti berdakwah atau masuk penjara.

Usaha menjauhkan rakyat khususnya orang Melayu daripada buku tidaklah seperti yang dilakukan oleh tentera Tartar. Juga tidak seperti Pol Pot. Tetapi berlaku dalam bentuk dan pendekatan yang baru hingga tidak terasa akan kejahatannya.

Ada pihak membayangkan institusi buku milik kerajaan juga akan melalui proses ‘rasionalisasi.’ Yang berminda tertawan terus tersengeh gembira. Orang jenis begini menang mudah dicucuk hidung. Tetapi kita yang tidak tertawan kena bangkit dan melawan. Ini agenda licik yang mesti ditentang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini