SETELAH menyedari akan kesalahan yang dilakukan, pemain Selangor, Muhammad Nurridzuan Abu Hassan akhirnya memohon maaf kepada para penyokong Perak susulan tindakannya menunjukkan isyarat lucah pada aksi Liga Super 2019 di Stadium Shah Alam minggu lalu.
Nurridzuan yang juga bekas pemain Perak memberi jaminan bahawa perkara seumpama itu tidak akan berulang selepas mengakui insiden berkenaan telah memberikan pengajaran besar buat dirinya sebagai pemain bola sepak profesional.
Pemain berusia 27 tahun tersebut juga tetap bersedia menerima sebarang hukuman yang bakal dikenakan kepadanya oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atau Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
“Dalam situasi itu, mungkin saya tidak boleh berfikir dengan baik selepas dilayangkan kad merah seterusnya melakukan perbuatan tidak bermoral tersebut.
“Jadi, saya ingin memohon maaf kepada para penyokong Perak dan saya jamin insiden seperti itu tidak akan berulang lagi kerana saya telah belajar daripada kesilapan sendiri.
“Apa sahaja tindakan daripada FAM dan MFL saya akan terima. Saya meminta maaf atas apa yang sudah berlaku,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Shah Alam semalam.
Nurridzuan dilihat menunjukkan isyarat lucah sebagai membalas provokasi yang dilakukan penyokong-penyokong Perak ketika dia berjalan keluar dari padang selepas dilayangkan kad merah pada minit ke-57.
Isu berkenaan menjadi hangat selepas gambarnya ketika menunjukkan isyarat lucah itu tersebar di laman media sosial manakala FAM juga sedang menyiasat insiden tersebut. – K! ONLINE











