KUALA LUMPUR 12 April- Gara-gara takut diperiksa, seorang penagih dadah nekad terjun ke dalam sungai dipercayai dihuni buaya ketika melarikan diri daripada penguat kuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Kampung Asajaya, Kota Samarahan, Sarawak, semalam. Memetik laporan portal Utusan Borneo, Timbalan Pengarah AADK Sarawak, Winnie Lugit berkata, lelaki terbabit merupakan antara 17 individu yang ditahan dalam operasi ‘Ops Perdana’ dijalankan pihaknya sejak 10 April lalu di kawasan Asajaya, Sadong Jaya dan Kota Samarahan.
Menurutnya, kesemua yang ditahan berusia 18 hingga 48 tahun.
“Dalam operasi tersebut, seorang disyaki penagih dadah berjaya meloloskan diri dengan nekad terjun ke dalam sungai tanpa menghiraukan keselamatan dirinya.
“Usaha mengesan suspek yang terjun ke dalam sungai masih dijalankan termasuk untuk mengenal pasti identitinya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, menurut Winnie, hasil pemeriksaan mendapati 12 daripada 17 individu yang ditahan disahkan positif dadah jenis syabu.
Katanya, kesemua tangkapan kini dibawa ke Ibu Pejabat AADK Sarawak untuk tindakan selanjutnya.-UTUSAN ONLINE











