PRAGUE 12 April – Chelsea mempamerkan aksi jauh daripada kemampuan sebenar, meskipun menumpaskan Slavia Prague 1-0 dalam suku akhir pertama Liga Europa di tempat lawan hari ini.
Blues memerlukan tandukan Marcos Alonso, empat minit sebelum tamat untuk memenangi perlawanan di ibu negara Republik Czech.
Bek kiri Sepanyol itu menyudahkan hantaran Willian untuk memastikan pasukannya membawa pulang kelebihan sebelum suku akhir kedua berlangsung di London, Khamis depan.
“Sejak awal lagi kami sedar, ia tidak mudah untuk bermain di Prague kerana Slavia memiliki corak permainan agresif dan sangat fizikal.
“Kami berdepan kesukaran sepanjang perlawanan sebelum menunjukkan aksi lebih baik pada babak kedua,” kata pengurus Chelsea, Maurizio Sarri.
Menurut Sarri, biarpun suku akhir kedua akan berlangsung di tempat sendiri, namun mereka tetap menjangkakan kesukaran dan perlu lebih berhati-hati.
Chelsea melakukan tujuh pertukaran berbanding pasukan yang mengalahkan West Ham 2-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris, Isnin lalu.
Antara yang diletak di bangku simpanan termasuklah Eden Hazard, yang kini menjadi subjek utama untuk meninggalkan kelab bagi menyertai Real Madrid, musim depan. – AGENSI











