REMBAU – Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan mengingatkan pengundi di Rantau bahawa Pakatan Harapan (PH) sanggup menabur pelbagai janji manis kepada mereka apabila berasa berada dalam keadaan terdesak.
Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, perkara itu pernah berlaku dalam PRK bagi kerusi DUN Semenyih pada bulan lalu selepas PH mendapati sokongan pengundi telah kembali kepada BN.
“Kita sendiri pada mulanya hanya menjangkakan mahu mengurangkan majoriti kekalahan kepada PH di Semenyih, tetapi ternyata kempen BN semakin hari semakin dapat sambutan.
“Mereka (PH) jadi panik sampai terpaksa umum beri orang bujang (Bantuan Sara Hidup) RM100, maka dapatlah orang bujang 27 sen sehari. Nak beli telur pun tak boleh. Harga telur 37 sen sebiji,” katanya semasa berkempen di Kampung Seri Lalang dekat sini malam tadi.
Mohamad berkata, kerajaan PH seterusnya mengumumkan pengambilalihan empat konsesi empat lebuh raya untuk memenangi dan memancing pengundi Semenyih sedangkan sering mendakwa kerajaan tiada duit.
Beliau menjelaskan, rakyat memberi kemenangan kepada PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada tahun lalu bukan kerana gemarkan parti tersebut.
Menurut beliau, rakyat mengundi PH ketika itu kerana mengharapkan pelbagai janji yang ditabur oleh PH kepada mereka dan kini mereka berasa marah sebab janji tidak ditunaikan.
Justeru, beliau menyeru warga Rantau memanggil pengundi luar supaya pulang mengundi di Rantau pada 13 April bagi memberi kemenangan kepadan BN.
“Jika ada saudara mara, adik beradik di luar suruh mereka balik pada 13 haribulan ini. Tolong saya. Saya jarang meminta tolong sebab saya dari kecil dididik jangan suka meminta-minta,” katanya. – K! ONLINE











