SESIAPAPUN yang melintas di gerai burger ini pasti tergoda dengan aroma patti burger yang sedang dimasak. Maka tidak hairanlah gerai yang turut menyediakan tempat duduk untuk pelanggan ini sentiasa penuh pada setiap hujung minggu.
Menurut cakap-cakap dalam laman sosial, patti burger buatan SY Cahaya Sentosa Burger lembut dan berjus. Di sebalik semua itu, burger yang dicipta oleh tiga beradik itu sebenarnya tidak terhasil dengan mudah.
Bayangkan setiap malam tiga beradik ini sanggup berembun pada waktu malam, berpeluh-peluh menyiapkan burger hanya untuk memberi pendapatan lebih kepada ahli keluarga mereka.
Jika 17 tahun dahulu, tiga beradik ini, Muhamad Shafiq Yusrizam, 25, Muhamad Syuari Yusrizam, 24 dan Muhammad Ashraf Yusrizam, 22 banyak menghabiskan waktu kanak-kanak dan remaja mereka membantu ibu bapa di gerai burger kini mereka boleh tersenyum bangga kerana telah memiliki gerai burger bersaiz besar di Jalan Bunga Kertas 1D, Bukit Sentosa, Rawang Selangor.
Gerai yang dibuka setiap hari kecuali Jumaat itu sentiasa menjadi tumpuan penduduk Rawang kerana kelazatan mayonis yang dibuat sendiri. Tidak ketinggalan, sos, lada hitam dan lada sulah juga dihasilkan sendiri.
“Sejak usia saya belasan tahun lagi saya berminat membelek majalah sajian untuk melihat resipi. Saya suka mencuba resipi dan menghasilkan resipi sendiri untuk sajian ahli keluarga. Paling seronok bila masakan yang dicipta mendapat pujian,” Muhamad Syuari mengimbaukan kenangan lama.
Menceritakan tentang penglibatan mereka adik-beradik dalam dunia burger, Muhamad Syuari berkata, ia bermula secara kecil-kecilan dan separuh masa.
“Dulu, selepas waktu persekolahan kami bertiga akan datang ke gerai membantu ibu bapa kami. Lama-kelamaan kami seronok menjual burger. Memang seronok berniaga sendiri. Kiranya kitalah bos dan kita juga kuli.
“Pada masa sama kami memikirkan apakah kelainan yang boleh menarik pelanggan ke gerai burger kami. Salah satu cara dengan mencipta resipi istimewa sebagai tambahan kepada resipi burger yang asal,” katanya.
Katanya, isi burger yang dijual di gerainya menggunakan 100 peratus daging lembu segar sebelum diadun dan dibentuk menjadi daging burger. Turut menjadi tarikan adalah adunan dagingnya itu mempunyai saiz yang besar dan tebal.
Harga burger yang dijual di gerai tersebut serendah RM3.90 bagi burger ayam atau daging dan RM 4.90 untuk burger kambing.
Terdapat juga burger istimewa seperti ducati monster, twister ayam, daging, oblong kambing, burger ikan, benjo dan sosej.
INFO
Waktu operasi : 5 petang hingga 1 pagi
Dibuka setiap hari kecuali Jumaat
Alamat: Jalan Bunga Kertas 1D, Bukit Sentosa, Rawang Selangor
Facebook: Sy Cahaya Sentosa Burger











