Tiada apa yang lebih indah buat pelakon, Anzalna Nasir apabila dijangka bakal bergelar seorang ibu sekitar Julai depan selepas tiga tahun mendirikan rumah tangga.
Memilih untuk tidak mendedahkan jantina bayi dalam kandungannya buat masa ini, Anzalna atau nama sebenarnya, Nur Anzalna Md. Nasir bagaimanapun akan membuat pendedahan berkenaan jantina anak sulungnya dalam sebuah majlis doa selamat.
Dedahnya lagi, hanya dia dan suami, Muhamad Hanif Mohamad Zaki mengetahui tentang jantina bayi dalam kandungan.
Ditemui pada majlis pelantikan dirinya sebagai duta produk kesihatan NR di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur baru-baru ini, Anzalna turut memberitahu bahawa dia semakin suka berdandan dan berhias sejak hamil.
Kosmo!: Boleh kongsikan perkembangan kehamilan Anzalna sekarang?
Anzalna: Sekarang usia kandungan sudah mencecah enam bulan. Jantina bayi buat masa sekarang, hanya saya dan suami yang tahu. Keluarga pun belum tahu. Majlis doa selamat akan dilakukan sebelum bersalin nanti dan waktu itu, saya akan dedahkan jantina bayi. Sebenarnya, boleh sahaja dedahkan sekarang, tetapi saya lebih suka beri kejutan, lebih seronok.
Adakah anda mengalami sebarang alahan sepanjang kehamilan?
Saya cuma mengalami alahan pada trimester pertama sahaja. Selepas itu saya okey dan tidak menghadapi sebarang masalah sehingga hari ini. Saya juga tidak mengidam makanan pelik-pelik, cuma apabila hamil saya suka menghadiri acara keramaian. Suami selalu menasihati supaya berehat di rumah, namun saya terlalu aktif (ketawa). Nafsu makan berganda sebab fikirkan bayi dalam kandungan.
Segelintir selebriti memilih untuk bersalin dalam air dan pembedahan, bagaimana pula dengan anda?
Saya ingin bersalin secara normal asalkan selamat untuk bayi dan saya sendiri. Paling penting, bayi selamat dan sihat walafiat. Saya tidak akan mengikut trend yang pelik-pelik. Doakan supaya urusan bersalin nanti dipermudahkan.
Meskipun sedang sarat mengandung anda dilihat menjaga keterampilan diri. Boleh komen?
Ya, memang saya mengakui suka berhias sejak hamil. Sebenarnya, sebelum hamil saya tidak suka memakai bulu mata palsu dan kanta lekap. Namun, apabila hamil, bayi dalam kandungan pula minta lebih-lebih. (ketawa). Bagaimanapun, bukan dipakai setiap masa sebaliknya ketika menghadiri majlis di luar. Terkejut pula anak dalam perut jika di rumah pun saya ingin memakai bulu mata palsu dan kanta lekap.
Adakah anda akan memberi kemewahan pada anak selepas dilahirkan kelak?
Semua orang ada pendapat masing-masing. Saya belum terfikir soal itu sehinggalah anak dilahirkan kelak. Bagaimanapun, untuk anak pertama, apa salahnya kita beri segala-galanya. Sebelum ini saya pernah memberitahu suami bahawa saya sanggup beri apa sahaja yang dimahukan anak. Tetapi selepas anak berada di depan mata, saya akan fikirkannya kembali.
Bagaimanakah perasaan anda apabila bakal bergelar ibu tidak lama lagi?
Setiap hari fikirkan tentang anak sahaja, tidak fikir tentang perkara lain. Saya dan suami setiap hari bercakap tentang bayi dalam kandungan ini. Tidur pun sampai tidak lena kerana tidak sabar untuk berjumpa dengan anak pertama kami. Insya-Allah doakan yang terbaik untuk bayi ini.











